Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah melakukan pelbagai perubahan dasar dan pembaharuan kepada Malaysia. Perkara itu, dijangka akan menyeba...

Keyakinan perniagaan di Malaysia dijangka kekal paras terendah


Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah melakukan pelbagai perubahan dasar dan pembaharuan kepada Malaysia. Perkara itu, dijangka akan menyebabkan keyakinan perniagaan berada di paras rendah untuk tempoh tiga hingga enam bulan akan datang kata MIDF Research.

Firma penganalisis ekonomi itu menjelaskan, tindakan kerajaan membatalkan projek Kereta api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan MRT3 juga turut memberi kesan kepada keyakinan perniagaan keseluruhan dan aliran pelaburan masuk.

“Kami meramalkan keyakinan perniagaan akan kembali kukuh pada suku ketiga 2018 apabila Bajet 2019 dibentangkan pada 18 Oktober dan diikuti dengan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11: Arah Baharu 2018-2020 menjelang akhir tahun.

“Seperti yang disebut oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, hala tuju ekonomi baharu akan memberi tumpuan kepada pasaran bebas dan mesra pelabur serta memastikan ekonomi kemanusiaan (humanitarian economy),” katanya.

Menurut MIDF Research, prestasi perniagaan keseluruhan dijangka akan terus berada pada kadar sederhana kerana keyakinan perniagaan berapa pada paras 7.8 peratus dan itu adalah paras paling perlahan dalam tempoh tiga suku berturut-turut.

Sementara itu, Kaji Selidik Kecenderungan Perniagaan berkata situasi itu berlaku disebabkan faktor Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang cukup kontroversi.

“Mengikut sektor, keyakinan perniagaan dalam sektor pembinaan jatuh menjunam ke paras negatif 24.8 peratus pasca PRU-14. Sektor pembinaan sangat berhubung kait dengan keada­an politik kerana ia melibatkan pelaburan kerajaan yang besar di dalam projek infrastruktur mega.

“Kita boleh menjangkakan sektor ini kekal lembap susulan pengumuman kerajaan yang membatalkan projek HSR dan MRT3,” katanya. - utaranews.com