Pelbagai pihak menolak dan tidak bersetuju berhubung cadangan melantik Tommy Thomas, Peguam Ketua Parti Komunis Malaya, Chin Peng, sebagai...

Kredibiliti dan moral Kerajaan PH mula dipertikai


Pelbagai pihak menolak dan tidak bersetuju berhubung cadangan melantik Tommy Thomas, Peguam Ketua Parti Komunis Malaya, Chin Peng, sebagai Peguam Negara.

Penolakan cadangan berkenaan bukan hanya sekadar membabitkan isu agama dan kaum, sebaliknya ia turut melibatkan soal kredibiliti dan moral kerajaan Pakatan Harapan yang di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut pensyarah Undang-undang, Dr. Shamser Singh Thind, sekiranya berdasarkan dari segi perundangan, Tommy sememangnya layak.

Malah, kata beliau, tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan mengatakan bahawa Peguam Negara perlulah seorang Melayu dan Islam.

Tetapi, Shamser Singh berkata, Tommy sudah lama memperlihatkan kecenderungannya kepada Pakatan Harapan apabila menjadi peguam kerajaan negeri Pulau Pinang ketika Menteri Kewangan, Lim Guan Eng masih menyandang jawatan Ketua Menteri di negeri berkenaan.

Beliau berkata, bukan hanya itu sahaja, Tommy juga menjadi peguam bela dalam kes banglo yang membabitkan Guan Eng.

“Sebagai seorang peguam, Tommy sememangnya perlu mengamalkan sikap berkecuali.

"Tetapi sebenarnya dia telah menunjukkan kecenderungan tinggi kepada Pakatan Harapan sejak sebelum menjadi kerajaan lagi.

Tambah pensyarah Undang-undang tersebut, perkara ini boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat tentang kredibiliti kerajaan sekarang.

"Apatah lagi dahulu kepemimpinan Pakatan Harapan sering mengatakan Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali ‘menyebelahi’ pentadbiran kerajaan terdahulu?,” ujar Shamser Singh. - Utaranews.com