Ramai umat Islam yang tidak mengetahui bahawa berpuasa sebenarnya memberi banyak kebaikkan kepada kesihatan tubuh badan. Disebalik menahan...

Kurangkan risiko sakit jantung dengan berpuasa


Ramai umat Islam yang tidak mengetahui bahawa berpuasa sebenarnya memberi banyak kebaikkan kepada kesihatan tubuh badan. Disebalik menahan diri dari lapar dan dahaga, berpuasa juga sebenarnya meningkatkan kesihatan tubuh badan melalui proses detoksifikasi iaitu mencuci dan membersihkan badan daripada racun atau toksin.

Malah, secara tidak langsung berpuasa mampu mengurangkan risiko serangan jantung. Pakar Kardiologi, Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Dr. Zul Hilmi Yaakob berkata, berpuasa dapat membantu mengurangkan risiko serangan jantung kerana tabiat pemakanan semasa berpuasa lebih berjaga-jaga dan teratur.

“Apabila seseorang itu mengawal pemakanan, dia dapat mengawal kolestrol, kandungan gula dan tekanan darah. Ketiga-tiga ini merupakan faktor utama jantung. Ini kerana corak pemakanan tidak sihat itu tanpa disedari boleh menyumbang kepada risiko obesiti yang berkait rapat dengan penyakit jantung.

“Lemak badan yang berlebihan akan terkumpul di sekeliling jantung dan seterusnya mengganggu saluran darah. Pembuluh darah yang tersumbat akan menyukarkan oksigen sampai ke jantung lalu mengakibatkan strok dan serangan sakit jantung,” katanya.

Ada yang beranggapan bahawa amalan berpuasa ini memberi kesan buruk kepada pesakit jantung. Namun sebenarnya tiada masalah untuk mereka jika berpuasa, dan kajian menunjukkan pesakit jantung yang berpuasa menunjukkan penurunan kolesterol tidak baik (LDL) dan meningkatkan paras kolesterol baik (HDL) yang boleh mengurangkan dan mengawal risiko serangan jantung.

Walaubagaimanapun, pesakit jantung mempunyai pelbagai kategori. Terdapat antara pesakit jantung mempunyai kesan besar kepada dirinya sekiranya berpausa. Oleh itu, pesakit jantung dinasihatkan merujuk dengan doktor mereka terlebih dahulu.

“Sebaik-baiknya pesakit jantung dinasihatkan berjumpa dengan doktor terlebih dahulu sebulan sebelum berpuasa bagi memastikan sama ada mereka boleh berpuasa atau sebaliknya kerana setiap pesakit mempunyai cabaran tersendiri dan berbeza antara satu sama lain,” jelasnya.

Dalam pada itu, sebenarnya amalan berpuasa ini adalah salah satu keadah berkesan untuk perawatan dan menjaga kesihatan yang terbaik. Jika pesakit berpuasa ia sekaligus dapat mengawal pesakit itu daripada memakan jenis makanan tertentu. - utaranews.com