Kemunculan perkhidmatan e-hailing memang memberi kesan yang amat besar kepada perkhidmatan teksi. Pada awal kemunculan perkhidmatan e-hali...

Lagi Persatuan Teksi gesa Kerajaan hapuskan perkhidmatan e-hailing


Kemunculan perkhidmatan e-hailing memang memberi kesan yang amat besar kepada perkhidmatan teksi. Pada awal kemunculan perkhidmatan e-haling, ramai pemandu teksi telah membuat bantahan.

Ramai pemandu teksi telah merungut mendakwa pendapatan mereka terjejas dengan adanya perkhidmatan Uber dan GrabCar yang menggunakan aplikasi e-hailing.

Terkini, Persatuan Gabungan Teksi dan Warga Pemandu Teksi Pulau Pinang (Gabungan) berharap kerajaan Pakatan Harapan untuk menghapuskan perkhidmatan e-hailing.

Menurut, Yang Dipertuanya, Abdul Malik Darus, peranan e-hailing ini perlu terus dihapuskan dan diberikan kepada pemandu teksi sedia ada.

“Sekarang ini kerajaan negeri dan persekutuan sudah sehaluan, jadi saya ingin mencadangkan supaya perkhidmatan e-hailing ini  dibincangkan semula.

“Kalau boleh, kerajaan mansuhkan terus e-hailing ini dan beri peranan itu kepada pemandu teksi sedia ada,” katanya.

Jelasnya, perkhidmatan terbabit dibimbangi disalahguna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan berlaku perkara yang tidak diingini serta diharap dapat dikaji semula.

“Ini periuk nasi kami. Saya sangat berharap pihak kerajaan dapat mengkaji semula perkara ini,” katanya.

Terdahulu, Syarikat pengendali teksi, Big Blue Taxi Service Sdn Bhd turut meminta kerajaan supaya menyekat Grab Malaysia daripada terus beroperasi.

Penasihatnya, Datuk Shamsubaharin Ismail, berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak perlu memberi sokongan mahupun bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan e-panggilan itu kerana pemandu teksi yang pernah berkhidmat dengannya pernah dianiaya. - utaranews.com