Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Hassan Karim menyifatkan keputusan kerajaan Malaysia yang mahu menarik balik rayuan berhubun...

Mahathir silap besar lepaskan Pulau Batu Putih


Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Hassan Karim menyifatkan keputusan kerajaan Malaysia yang mahu menarik balik rayuan berhubung kes Pulau Batu Putih di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) adalah satu kesilapan besar.

Beliau mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya meneruskan rayuan keputusan yang dibuat mahkamah pada tahun 2008 itu.

"Keputusan Perdana Menteri baru-baru ini untuk menarik balik rayuan itu adalah kesilapan besar. Perbicaraan perlu diteruskan kerana kini terdapat bukti-bukti baru.

"Saya meminta kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan rayuan kes itu di ICJ," katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu turut senada dengan mantan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa pulau berkenaan adalah hak Johor dan Malaysia yang berdaulat.

Tambah Hassan, isu tersebut tidak boleh dikompromi kerana ia berkenaan kedaulatan negara.

Pada 30 Mei lalu, Bernama melaporkan bahawa, Kementerian Luar Singapura berkata ICJ sudah memberitahu kepada kerajaan negara berkenaan bahawa prosiding yang dikemukakan Malaysia berkaitan penghakiman asal pada 2008 melibatkan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, tidak akan diteruskan.

Dalam laporan itu, kementerian tersebut berkata Malaysia sudah memberitahu perkara itu kepada ICJ pada 28 Mei lepas.

Sebelum ini, Khaled yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor menggesa kerajaan negeri menyatakan pendirian mengenai keputusan itu.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kerajaan perlu memberikan kenyataan rasmi untuk menjawab persoalan yang bangkit ekoran keputusan itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, persoalan yang timbul adalah faktor yang membawa kepada peutusan itu dan mengapa bukti baru- tiga dokumen sejarah di Arkib Negara United Kingdom - seperti yang dinyatakan Pejabat Peguam Negara pada 2017 diketepikan begitu sahaja.

"Kebanyakan berita yang dilaporkan media tempatan dipetik daripada kenyataan Kementerian Luar Singapura. Kerajan baru setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Walaupun Menteri Luar belum dilantik, kedaulatan tanah air adalah perkara amat mustahak," ujar Ka Siong.

Terdahulu, Mahathir secara rasmi menyatakan kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menarik diri daripada kes Pulau Batu Putih daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Mahathir menjelaskan, ia ekoran sebelum ini ICJ telah menganugerahkan Pulau Batuan Tengah kepada negara ini. - Utaranews.com