Dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkemungkinan jauh lebih rendah daripada sebelum ini akibat kejatuhan saham ekoran kenyata...

Mampukah KWSP kekalkan dividen tinggi kepada pencarum selepas kejatuhan saham?


Dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkemungkinan jauh lebih rendah daripada sebelum ini akibat kejatuhan saham ekoran kenyataan yang tidak bertanggungjawab daripada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lim Guan Eng berhubung dengan hutang negara.

Mahathir dan Guan Eng mendakwa konon Pakatan Harapan terpaksa mewarisi pentadbiran negara dengan hutang mencecah RM1 trilion yang ditinggalkan Barisan Nasional (BN), sedangkan angka rasmi sebelum ini sebenarnya adalah RM686 bilion.

Baru-baru ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI merekodkan kerugian sebanyak 40.78 mata atau 2.21 peratus kepada 1804.25 mata.

Prestasi Bursa Malaysia itu terjejas didorong oleh sentimen tidak baik terhadap hutang negara yang tinggi seperti mana kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua pemimpin Pakatan Harapan itu.

Sebelum ini, mantan perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan tindakan mengatakan hutang kerajaan adalah sebanyak 65% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu perbezaan ketara dari angka rasmi 50.9 peratus, dan mengatakan hutang itu RM1 trilion tetapi tidak menjelaskan secara terperinci tentang apa yang dimaksudkannya, akan menyebabkan pasaran kewangan terganggu.

Bekas Perdana Menteri keenam itu berkata, ia juga akan menakutkan agensi penarafan kredit dan menghilangkan keyakinan pelabur terhadap institusi negara seperti Bank Negara Malaysia (BNM).

Najib berkata, berdasarkan daripada kenyataan yang membimbangkan dan mengelirukan ini, Indeks Bursa Malaysia mengalami kejatuhan paling banyak di antara semua pasaran saham di seluruh dunia, mengakibatkan berpuluh bilion ringgit dalam nilai pasaran hilang dalam tempoh satu hari.

Memetik berita bisnes, The EdgeMarkets yang melaporkan bahawa kejatuhan teruk pasaran saham ini disebabkan kekhawatiran terhadap hutang awam kita.

Apa yang merisaukan rakyat negara ini, hal ini akan mempengaruhi dana seperti KWSP dan PNB, dan akan mengurangkan kadar dividen kepada pencarum bagi tahun ini.

Kerajaan Pakatan Harapan dilihat amat tidak bertanggungjawab dalam usaha mereka menyalahkan Najib untuk mewujudkan persepsi keadaan kewangan yang buruk. Akibatnya menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tidak dapat melaksanakan janji manifesto pilihan raya mereka dan mewajarkan langkah mengurangkan ahli perkhidmatan awam.

Jika hujung tahun ini dividen KWSP dan ASB dapat rendah, mahu menuding jari kepada siapa? Inilah dapatnya bila mengubah kerajaan di peringkat Persekutuan. Akibat terpengaruh dan termakan dengan janji-janji manis, akhirnya apa pun tidak dapat. - Utaranews.com