Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, nilai hutang negara kini sudah mencecah RM1 trilion dan ia memerlukan langkah-langkah p...

Memalukan jika minta rakyat bayar hutang kerajaan


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, nilai hutang negara kini sudah mencecah RM1 trilion dan ia memerlukan langkah-langkah pemulihan dan penyelesaian yang menyeluruh.

Malah, Dr Mahathir turut menubuhkan Tabung Harapan Malaysia (THM) bagi rakyat Malaysia mahu menyalurkan sumbangan mereka untuk menangani masalah hutang negara.

“Derma dan sumbangan yang boleh dihulurkan adalah dalam bentuk mata wang tempatan (Ringgit Malaysia) sahaja,” katanya.

Namun, Pakar Ekonomi Negara, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata tidak pernah ada mana-mana negara di dunia ini yang menubuhkan tabung untuk membantu kerajaan membayar hutang.

Beliau berkata, keadaan hutang negara bukan berada pada tahap 'bankrap' sehingga keadaan terdesak untuk meminta rakyat menderma.

“Kita tahu kerajaan ada hutang tetapi bukan pada tahap yang sangat teruk hingga Malaysia dalam keadaan terdesak untuk minta derma rakyat. Negara kita belum bankrap.

“Tetapi isu hutang negara ini diperbesarkan atas faktor-faktor politik.

“Saya masih percaya penilaian laporan kewangan Malaysia yang dibuat oleh Bank Dunia dan agensi-agensi penarafan," katanya.

Navaratnam berkata, sepatutnya kerajaan Pakatan Harapan harus menangani keadaan itu seperti mengurangkan perbelanjaan, elakkan pembaziran, dan menangani isu rasuah secara habis-habisan.

“Bukan menjadi politikus yang terlalu banyak politiking,” ujarnya.

Selain itu, katanya angka tersebut membabitkan pelbagai pajakan untuk pelbagai projek awam swasta seperti pembinaan sekolah, balai polis, jalan raya serta lain-lain yang berjumlah RM201.4 bilion (14.9 peratus daripada KDNK) dan angka hutang-hutang negara yang disenaraikan itu yang belum menjadi liabiliti. - utaranews.com