Kerajaan Pakatan Harapan di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad gagal mengemukakan calon yang bebas kontroversi dan tidak berkepenti...

PAS anggap Tommy Thomas tak sesuai jadi AG kerana sekular


Kerajaan Pakatan Harapan di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad gagal mengemukakan calon yang bebas kontroversi dan tidak berkepentingan untuk menyandang jawatan Peguam Negara, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali.

Menurut pemimpin parti Islam itu, Tommy Thomas tidak sesuai untuk menyandang jawatan berkenaan kerana pemikiran sekular tegar beliau boleh menggugat dan menjejaskan kedudukan serta peranan Islam.

Khairuddin berkata, ini akan membantutkan usaha memartabatkan agenda Islam yang menjadi teras kedaulatan negara ini.

“Meneliti kuasa dan tanggungjawab Peguam Negara yang digariskan dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, tanpa menafikan kepakaran Tommy Thomas mengenai undang-undang dan perlembagaan, saya berpendirian bahawa beliau tidak sesuai menduduki jawatan itu.

"Ini kerana pemikiran sekular tegar beliau boleh menjejaskan kedudukan dan peranan Islam yang telah dijamin oleh perlembagaan Persekutuan sendiri,” kata beliau.

Tambah beliau, kerajaan Pakatan Harapan ada tanggungjawab menyatukan masyarakat berteraskan asas-asas negara yang telah dipersetujui antaranya kedaulatan Islam dan kedaulatan Raja-raja dan Sultan.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa turut menempelak tindakan kerajaan Pakatan Harapan itu.

Beliau berkata, cadangan untuk melantik Tommy sebagai peguam negara ternyata bertentangan dengan janji Pakatan Harapan dalam manifesto mereka pilihan raya umum lalu yang berjanji untuk melantik mereka daripada kalangan Ahli Parlimen.

Baru-baru ini, Mahathir telah mencadangkan Tommy sebagai calon Peguam Negara bagi menggantikan Mohamad Apandi, kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dalam perkembangan terbaru, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V telah memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata atas nasihat Perdana Menteri, Seri Paduka telah menitahkan perkara itu mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan. - Utaranews.com