Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) telah berlalu dan keputusannya pun sudah diumumkan. Namun ada yang masih tidak berpuas hati dengan keput...

Pengerusi PPBM P.Pinang tak puas hati kalah di Tasek Gelugor


Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) telah berlalu dan keputusannya pun sudah diumumkan. Namun ada yang masih tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan dan mahu membawanya ke mahkamah.

Ini boleh dilihat apabila Pengerusi Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Pulau Pinang, Marzuki Yahya yang tidak puas hati kalah di Tasek Gelugor akan memfailkan petisyen di mahkamah untuk mencabar keputusan PRU-14 minggu depan.

Dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu, menyaksikan Marzuki yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Shabudin Yahaya dan calon PAS, Rizal Hafiz Ruslan untuk berebut kerusi Parlimen Tasek Gelugor.

Bagaimanapun, Marzuki kalah 81 undi kepada Datuk Shabudin Yahaya.

Pengerusi PPBM Pulau Pinang itu memperolehi sebanyak 18,466 undi berbanding Shabudin yang mendapat 18,547, sementara calon PAS, Rizal Hafiz Ruslan pula memperoleh 14,891 undi.

Marzuki berkata, keputusan itu dibuat selepas berasakan tidak diberikan hak untuk melakukan kiraan kembali walaupun kekalahannya di bawah empat peratus seperti disyaratkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu hanya 0.15 peratus.

Pengerusi PPBM Pulau Pinang itu yakin beliau boleh menang sekiranya kiraan kembali dilakukan.

“Saya yakin ada keraguan yang amat berat dalam hal ini dan boleh menang jika kiraan semula dibuat, sebab itu saya akan memfailkan petisyen ke mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga turut mendakwa PPBM Pulau Pinang sehingga sekarang sudah menerima kemasukan kira-kira 10,000 anggota baharu dengan majoritinya adalah anggota UMNO. - Utaranews.com