Terdapat segelintir pihak yang mencadangkan agar peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dibubarkan. Perdana Menteri, Tun Dr Mahat...

Peranan JAKIM perlu diperkasa, bukannya dihapuskan


Terdapat segelintir pihak yang mencadangkan agar peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dibubarkan. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, buat masa ini sekumpulan ulama yang berpengetahuan luas tentang agama sedang membincangkan peranan Jakim  dalam negara sama ada akan dikekalkan atau tujuan asal penubuhannya diteliti semula.

Namun, Perdana Menteri diharap dapat mempertimbangkan peranan institusi Jakim agar terus dikekalkan daripada dibubarkan.

Mengulas lanjut, Ketua Biro Islamiyat Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Omar Kassim berkata peranan Jakim masih lagi relevan iaitu sebagai sebuah agensi kerajaan Pusat dalam mentadbir hal ehwal agama Islam di Malaysia.

Beliau berkata, malah peranan Jakim boleh ditambahbaik atau dipertingkatkan untuk umat Islam di negara ini.

“Semua peranan lama masih sangat relevan malah pemerkesaan amat diperlukan dalam keadaan umat Islam hari ini.

“Anak-anak ramai membaca al-Quran pun tidak tahu, solat tidak dijalankan penuh dan sempurna, ditambah lagi dengan pelbagai cabaran hedonisme, pornografi, liberalisme, Syiah dan pelbagai lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Omar Kassim turut berharap kerajaan yang mahu berbincang mengenai peranan Jakim di negara ini yang menghimpunkan barisan ilmuan dan individu berpengetahuan akan turut melibatkan beberapa tokoh ilmuan Islam termasuk NGO Islam lain.

“Berkaitan tokoh ilmuan yang akan dikumpulkan, harapnya kerajaan akan membawa masuk tokoh-tokoh ulama seperti Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

“Libatkan juga wakil-wakil NGO Islam yang aktif di lapangan serta memahami tahap sebenar kefahaman Islam dalam masyarakat,” katanya. - utaranews.com