Sebelum ini, Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) 2.0 telah membuat tuntutan dengan menghantar memorandum kepada Kerajaan Pakatan H...

Persatuan Melayu P.Pinang gesa ROS siasat Hindraf 2.0


Sebelum ini, Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) 2.0 telah membuat tuntutan dengan menghantar memorandum kepada Kerajaan Pakatan Harapan supaya memberi peluang pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) terutama kepada kaum India berpendapatan rendah.

Sehubungan itu, Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) meminta agar Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk menyiasat status penubuhan Hindraf 2.0 itu.

Presidennya, Tan Sri Mohd Yussof Latif berkata, tindakan yang dilakukan Hindraf 2.0 membuat tuntutan supaya UiTM dibuka untuk semua kaum itu adalah satu tuntutan biadap dan membangkitkan isu perkauman.

"Ini satu tuntutan biadab, tidak bertanggungjawab dan cuba membangkitkan isu sentiviti kaum.

"Mereka sepatutnya faham konteks sosial yang dikecapi antara kaum sebelum negara mencapai kemerdekaan," katanya.

Jelasnya, sekiranya Hindraf 2.0 adalah pertubuhan yang berdaftar beliau berharap pertubuhan itu dibatalkan kerana ia membuat tuntutan yang boleh membangkitkan perpecahan kaum.

"Pemenang berpendapat kalau ia satu pertubuhan yang berdaftar, kami cadangkan supaya dibatalkan pendaftarannya.

"Tindakan ini perlu dipertimbangkan kerana ia telah membangkitkan isu perkauman dan mengundang perpecahan kaum.

"Sekiranya ia adalah badan haram, maka tindakan tegas perlu diambil mengikut undang-undang," katanya.

Menurutnya, tuntutan yang dibuat itu bertentangan dengan Perlembagaan kerana penubuhan UiTM adalah untuk membantu pendidikan orang-orang Melayu.

"Ia hanyalah secebis bantuan kerajaan kepada orang Melayu. Ini bukan rasis, tapi berdasarkan konteks sosial," katanya. - utaranews.com