Perubahan dalam UMNO perlu bermula dengan pembangunan generasi muda pewaris perjuangan, kata mantan Timbalan Menteri di Jabatan Perda...

Perubahan dalam UMNO harus bermula dengan pembangunan generasi muda - Dr Asyraf Wajdi


Perubahan dalam UMNO perlu bermula dengan pembangunan generasi muda pewaris perjuangan, kata mantan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang menawarkan diri bertanding Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dalam pemilihan nanti.

Beliau berkata, pemuda perlu disuntik dengan idealisme, ruh dan semangat pengorbanan berteraskan prinsip Islam sejati, sebagaimana mendasari perjuangan UMNO sejak awal penubuhan parti itu.

Asyraf Wajdi yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, beliau membuat keputusan untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO kerana lima agenda utama iaitu pengkaderan, pentarbiyahan, pemantapan ilmu, pengukuhan jati diri dan pemerkasaan rohani.

“Berpandukan lima agenda inilah, dengan penuh rasa keinsafan, amanah dan tanggungjawab saya menawarkan diri sebagai calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,” ujar beliau.

Beliau bakal berdepan dengan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun yang juga menawarkan diri bagi merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dalam pemilihan parti tersebut kali ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ujian yang melanda UMNO sekarang adalah satu isyarat Allah supaya setiap pendokong parti betul-betul menjiwai makna perjuangan sejati.

“Jika perjuangan untuk mengejar pangkat dan kebendaan, hakikatnya pangkat dan kebendaan sudah tiada. 

"Yang tinggal hari ini hanyalah sisa-sisa perjuangan yang menagih kesetiaan dan keikhlasan setiap warga untuk melakukan perubahan dalam parti,” tambah Asyraf Wajdi.

Sebelum ini, Majlis Tertinggi UMNO telah menetapkan tarikh persidangan tahunan Cawangan UMNO dan Pergerakan Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO dimulakan pada 19 Mei 2018  sehingga 10 Jun 2018.

Sementara, Mesyuarat UMNO di peringkat bahagian pula ditetapkan pada 30 Jun 2018 dan kesemua persidangan ini dijalankan secara serentak dengan pemilihan parti di semua peringkat. - Utaranews.com