Keputusan kerajaan Pakatan Harapan mencadangkan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara baharu adalah tidak selari dengan Perkara 3 (1) Perlem...

Politik Kerajaan PH ancam Perlembagaan Persekutuan


Keputusan kerajaan Pakatan Harapan mencadangkan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara baharu adalah tidak selari dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi ‘Islam ialah agama bagi Persekutuan’, kata Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, ia juga tidak selari dengan Sumpah Jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang berbunyi ‘Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam’.

Katanya, ini kerana Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan menyebut ‘Menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati YDPA atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri tentang apa-apa perkara undang-undang, dan melaksanakan apa-apa tugas lain yang bersifat undang-undang, yang dari semasa ke semasa dirujukkan atau ditugaskan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri’.

"Jadi, melantik seorang yang bukan Islam untuk menasihati YDPA sudah tentulah satu langkah yang tidak betul kerana seorang yang bukan Islam sudah tentulah tidak akan dapat membantu YDPA ‘memeliharakan pada setiap masa Agama Islam’ selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi ‘Islam ialah agama bagi Persekutuan’.

"Selain itu, bagaimana Tommy, seorang bukan Islam, boleh menasihati YDPA atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang Islam dengan betul dan tidak berkepentingan sedangkan banyak pandangannya mengenai undang-undang Islam yang tercatat di dalam buku-bukunya sebelum ini yang bersifat kritikal dan lebih banyak dipengaruhi oleh pegangan agama beliau sendiri?

"Tommy di dalam bukunya bertajuk ‘Abuse Of Power’ pada 2016 juga mengkritik keputusan Mahkamah Rayuan di dalam kes penggunaan nama Allah oleh Gereja Katolik dengan menyebut: ‘In an appeal where the central issue is a clash between Islam and Christianity, the judges ought to have been Hindus, Buddhists, atheists or agnostics. Alternatively, there should have been a delicate balance between judges of the Muslim, Christian and other faiths’," kata beliau.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh, berkata sebab itulah bila terkeluar berita bahawa YDPA dan Raja-Raja Melayu tidak memperkenankan hasrat Pakatan Harapan untuk melantik Tommy sebagai Peguam Negara, maka ia adalah satu tindakan yang amat tepat dan perlu dihormati.

Beliau berkata, Pakatan Harapan wajib akur dengan tindakan YDPA dan Raja-Raja Melayu ini selaras dengan Janji 11 di dalam Manifesto pakatan itu yang berbunyi ‘Kerajaan Pakatan Harapan akan sentiasa meletakkan pandangan dan teguran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu di tempat tertinggi, iaitu sesuai dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dalam negara kita’.

"Mengikut Perlembagaan Persekutuan, perlantikan Peguam Negara adalah jelas dibuat oleh YDPA, tidak seperti kenyataan Lim Kit Siang pada 17 Mac 2018 bahawa ‘kita (Pakatan Harapan) akan melantik seorang Peguam Negara dan ketua-ketua institusi-institusi negara…’ (‘we will appoint an Attorney-General and heads of national institutions…’) tanpa sebarang rujukan kepada YDPA," katanya.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, mengikut Perkara 145 (5) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh YDPA, apatah lagi atas merit YDPA sebagai Ketua Negara (Perkara 32), Ketua Eksekutif (Perkara 39) dan sebagai Ketua Agama Islam, di mana sudah tentu ada justifikasi kukuh kenapa orang Islam perlu diberikan keutamaan memegang jawatan ini.

Beliau berkata, keputusan untuk mencadangkan Tommy yang dibuat oleh Pakatan Harapan ini juga tidak selari dengan Janji 15 di dalam Manifesto Pakatan Harapan yang berbunyi ‘Peguam Negara akan dilantik dari kalangan ahli parlimen yang berkelayakan, dan beliau akan menjadi seorang Menteri yang boleh meneruskan peranan sebagai penasihat undang-undang bagi kerajaan’.

"Di mana suara Tan Sri Dr Rais Yatim yang menyokong Pakatan Harapan sekarang?

"Bukankah sudah terbukti sekarang bila Pakatan Harapan tidak akur dengan tindakan YDPA dan Raja-Raja Melayu di dalam soal hasrat Pakatan Harapan untuk melantik Tommy sebagai Peguam Negara maka apa yang beliau katakan pada 6 Februari 2018 bahawa ‘peta PPBM adalah sosialis, tidak nampak menjuarakan orang Melayu dan Raja-Raja Melayu’ adalah betul?

"Belum pun 40 hari di tampuk kuasa, negara sudah mula bergelut dgn pelbagai perkara dasar..terutama yg menyentuh perkara asas seperti termaktub dalam perlembagaan.

"Yang pasti Raja-Raja Melayu, Islam dan hak orang Melayu semacam diancam secara sistematik," tambah beliau. - Utaranews.com