Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah mengumumkan menerusi Kementerian Kewangan akan melaksanakan sifar peratus Cukai Barang dan Perkhidmat...

Projek awam di Malaysia akan terjejas dengan kos penghapusan GST


Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah mengumumkan menerusi Kementerian Kewangan akan melaksanakan sifar peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkuatkuasa 1 Jun di seluruh negara.

Namun, penghapusan GST itu dilihat memberi impak negatif bukan sahaja kepada pengurangan hasil pendapatan tahunan yang dikutip daripadanya malah akan menjejaskan projek yang telah dibiayai hasil daripada cukai tersebut.

Pengarang bersekutu Singapore Straits Times, Vikram Khanna, dalam ulasan bertajuk 'GST Malaysia-mangsa politik populis' berkata antara projek yang dibiayai cukai tersebut adalah termasuk sekolah, hospital, jalan raya dan perkhidmatan awam lain seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

"Malaysia mungkin juga perlu menaikkan caj pengguna untuk sistem rel transit Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT), yang sebelum ini pada kadar rendah hasil sokongan daripada pendapatan GST," katanya.

Jelasnya, walaupun harga minyak mentah hari ini kira-kira AS$80 setong tetapi ia hanya mampu memberi kelonggaran fiskal dalam jangka pendek dan Malaysia tidak boleh hanya bergantung kepada sektor terbabit untuk jangka masa panjang.

"Malaysia tidak boleh bergantung kepada sektor ini untuk jangka panjang.

"Selepas GST dimansuhkan, kerajaan akhirnya akan memerlukan cukai baharu - sama ada ke atas pendapatan atau keuntungan modal, atau caj pengguna yang lebih tinggi. Kesan negatif terhadap ekonomi cukai ini juga perlu diambil kira dalam kos pemansuhan GST," kata Vikram.

Menurutnya, GST sering disalah anggap sebagai punca kenaikan kos sara hidup sedangkan GST adalah jelas dinyatakan dalam invois berbanding SST tersembunyi kepada pengguna.

"Walaupun mereka sebenarnya membayar cukai berkenaan (SST), ramai daripada mereka tidak menyedari bahawa mereka berbuat demikian. Sebab lain adalah bahawa beberapa perniagaan yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga apabila GST diperkenalkan lebih daripada liabiliti cukai tambahan mereka, menyalahkan GST untuk kenaikan itu," ujarnya.

Vikram berkata, GST sebenarnya adalah satu cukai terbaik yang telah dilaksanakan Malaysia kerana ia banyak membantu negara dan tindakan menghapuskan cukai ini hanya akan menyukarkan lagi pengurusan kewangan Malaysia.

"Hakikatnya, GST telah membantu Malaysia berbanding cukai lain. Ini adalah salah satu langkah fiskal terbaik yang pernah berlaku di negara ini.

"Menamatkannya agak mudah. Tetapi sekarang ada bahagian yang sukar - kerajaan baru mempunyai tugas sukar untuk menguruskan kewangan Malaysia tanpa GST - dan tanpa langkah pendapatan alternatif yang dapat disesuaikan dengannya," katanya.  - utaranews.com