Menjelang Ramadan antara perkara yang sering dilakukan oleh umat Islam adalah amalan bersedekah dan zakat. Umat Islam berlumba-lumba menc...

Publisiti ketika beri bantuan di bulan Ramadan harus dihentikan


Menjelang Ramadan antara perkara yang sering dilakukan oleh umat Islam adalah amalan bersedekah dan zakat. Umat Islam berlumba-lumba mencari pahala yang lebih besar dan utama sepanjang Ramadan ini.

Malah, Nabi Muhammad SAW ada menyatakan: "Apabila tiba bulan Ramadan, dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan syaitan akan dirantai semuanya." (riwayat Bukhari, Muslim, Nasai, Ahmad dan Baihaqi)

Namun begitu, arus pemodenan telah menjadikan budaya itu disalahguna oleh individu tidak bertanggungjawab apabila amalan bersedekah dijadikan sebagai tempat untuk mencari publisiti.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata terdapat pertubuhan Islam, menteri ahli politik dan pemimpin masyarakat menjadikan amalan bersedekah itu sebagai mencari publisiti ketika menghulurkan bantuan kepada orang yang memerlukan.

Mengulas lanjut, Presiden CAP S.M Mohamed Idris berkata amalan membantu golongan miskin dan memerlukan adalah amalan yang baik tetapi amalan itu harus dilakukan tanpa publisiti dan tidak disiarkan kepada orang ramai secara umum.

"Golongan miskin tidak boleh dianggap sebagai objek amal untuk mendapatkan publisiti bagi meningkatkan imej pertubuhan dan pemimpin mereka. Allah SWT memerintahkan umat Islam untuk mengamalkan bersedekah dan adalah lebih baik untuk menyembunyikannya dan menghulurkan bantuan itu secara rahsia," katanya.

Selain itu, beliau turut menggalakkan pihak yang ingin memberi bantuan atau bersedekah untuk menyampaikan sumbangan dengan melawat sendiri golongan terbabit di rumah mereka untuk lebih memahami situasi mereka.

Katanya, hidup yang dilalui oleh golongan ini bukanlah mudah dan mereka tetap berusaha untuk mencari jalan supaya dapat mengeluarkan kehidupan mereka sekeluarga dari kemiskinan. - utaranews.com