Mantan Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat harus diberi penjelasan berhubung pembatalan projek Kereta Api ...

Rakyat harus diberi penjelasan kenapa HSR dibatalkan oleh kerajaan PH


Mantan Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat harus diberi penjelasan berhubung pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan, berkata kerajaan Pakatan Harapan jangan mengambil mudah kepercayaan yang sudah diberikan oleh rakyat kepada pakatan itu untuk memerintah negara ini dengan memberi justifikasi sambil lewa terhadap semua keputusan yang diambil.

“Rakyat bijak menilai,” kata bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan negara ini akan membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura, selain kemungkinan perlu membayar pampasan sehingga RM500 juta kepada Singapura.

Projek mega berkenaan, dirancang melibatkan jarak 335 kilometer dan merangkumi empat negeri, akan menghubungkan Kuala Lumpur ke Singapura. Projek HSR dijangka akan siap pada tahun 2026.

Dalam pada itu, Najib berkata, Kerajaan Pakatan Harapan di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad juga perlu menjalankan kajian berkenaan projek mega tersebut.

Kata bekas Presiden UMNO, kerajaan BN sebelum ini sudah melakukan kajian bertahun-tahun dan mendapati kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) projek HSR adalah RM209 bilion berbanding kosnya RM70 bilion. 

Tambah Najib, sumber pendapatan projek pemangkin ekonomi HSR menjangkau jualan tiket, yang membabitkan peningkatan nilai hartanah, kewujudan 442,000 peluang pekerjaan, pemindahan teknologi serta kepesatan ekonomi setempat dan juga pelancongan.

Bekas perdana menteri itu juga berkata, beliau terkejut apabila Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendakwa negara ini tidak memperolehi apa-apa keuntungan pun daripada projek mega tersebut dan akan membayar pampasan sebanyak RM500 juta kepada Singapura.

“Beliau (Mahathir) bertanggungjawab menjalankan kajian terperinci, dan memberikan penerangan yang komprehensif kepada rakyat dan pelabur tentang analisis kos dan manfaat projek ini secara keseluruhan,” tegas Najib. - UtaraNews.com