Rakyat perlu sedar dan mengambil tahu apa yang terjadi di negara ini kerana perubahan kepada kerajaan yang baharu tidak bermaksud perlu m...

Rakyat wajib bimbang dengan pembangunan dan pertumbuhan negara dibawah PH


Rakyat perlu sedar dan mengambil tahu apa yang terjadi di negara ini kerana perubahan kepada kerajaan yang baharu tidak bermaksud perlu membiarkan diri hanya menjadi pak turut sahaja, kata Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO.

Menurut Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO, rakyat perlu mempunyai harga diri dan bukan menjadi seperti kerbau yang dicucuk hidung.

“Akhirnya, keutamaan kita seharusnya kepada kuasa beli, pekerjaan, pelaburan, ekonomi dan masa hadapan yang dipertaruhkan, tidak kira siapa yang menjadi kerajaan,” katanya.

Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO, berkata lihat sahaja minggu lepas terdapat empat kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan yang perlu dibimbangi rakyat.

Kata Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO, antaranya seperti kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan tidak perlu bimbang jika taraf kredit negara ini diturunkan.

"Kenyataan seperti itulah yang perlu dibimbangi... Penurunan peringkat penarafan kredit akan membawa pelabur asing keluar dari pasaran saham dan pasaran bon Malaysia.

“Ini akan meningkatkan kadar faedah dan kos pembayaran balik hutang negara juga akan meningkat sebanyak RM10 bilion setahun, manakala rakyat biasa akan menghadapi kadar faedah yang lebih tinggi,” katanya.

Rakyat juga perlu bimbang dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkenaan hutang negara sekarang mencecah RM1 trilion.

Selain ini merupakan kenyataan politik dan tidak benar, tambahnya, kenyataan Guan Eng ini juga memberi kesan kepada pasaran saham,

"Guan Eng menyatakan hutang rasmi bersama-sama dengan pembayaran pajakan dan liabiliti luar jangka, satu langkah yang tidak mematuhi piawaian antarabangsa dan tidak tepat.

“Bukan sahaja ini akan menakutkan pasaran kewangan yang telah menyumbang kepada pasaran saham yang jatuh merudum selama beberapa hari pada akhir dan kelemahan Ringgit Malaysia, malah boleh digunakan sebagai alasan bagi Kerajaan Pakatan Harapan untuk tidak menyampaikan janji manifestonya,” ujarnya.

Selain itu, kenyataan Mahathir yang tekad membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.

“Mengapa kita perlu bimbang? Projek HSR adalah salah satu sebab mengapa agensi antarabangsa meningkatkan ramalan pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar).

"Membatalkan projek ini mungkin bermakna ramalan pertumbuhan KDNK akan diturunkan, menyebabkan lebih ramai pelabur menarik balik perancangan mereka untuk melabur di Malaysia.

“Kenyataan konfrontasi terhadap Singapura dan kekurangan rasa hormat secara tidak sengaja membatalkan HSR menerusi sidang akhbar tanpa memaklumkan Kerajaan Singapura terlebih dahulu hanya akan membawa kepada dasar yang tidak baik oleh Singapura serta memberikan kesan negatif kepada rakyat Malaysia yang bekerja di sana atau membuat dasar perdagangan yang merugikan kita,” ujarnya.

Rakyat juga perlu bimbangi berkenaan kenyataan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin yang mengatakan tidak ada gunanya ada pertumbuhan 10% kerana harga yang lebih rendah adalah apa yang rakyat ingin.

“Nampaknya kerajaan bersedia untuk mengorbankan pertumbuhan KDNK untuk kos sara hidup yang rendah.

"Pertumbuhan KDNK memperluaskan ekonomi dan memperluaskan peluang bagi kita semua. Pertumbuhan KDNK mencipta pekerjaan dan menimbulkan pendapatan," katanya lagi. - Utaranews.com