Mengemukakan tuntutan kepada kerajaan untuk membantu kaum tertentu yang tertinggal memanglah boleh dan tidak salah didalam undang-undang ...

Tak adil jika pertikai apa yang diperolehi oleh bumiputera di Malaysia


Mengemukakan tuntutan kepada kerajaan untuk membantu kaum tertentu yang tertinggal memanglah boleh dan tidak salah didalam undang-undang negara.

Tetapi tindakan pihak yang membuat tuntutan kepada kerajaan dengan membandingkan kenikmatan yang dimiliki kaum Melayu yang telah termaksub di bawah Perlembangaan Persekutan, adalah tidak patut dilakukan kata Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran.

Beliau berkata, tindakan itu tidak patut dilakukan untuk mengelakkan berlaku salah faham dan supaya tidak menjejaskan keharmonian yang wujud antara kaum di negara ini.

Katanya, kerajaan juga tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum lain di negara ini, malah setiap kaum di negara tidak terkecuali dari menerima sebarang pembangunan dan kesejahteraan di negara ini.

“Lebih elok sekiranya pihak berkenaan menuntut institusi pendidikan khas untuk memenuhi kehendak mereka dan bukannya menjadikan pusat pengajian seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai sasaran.

“Begitu juga dengan pemberian tanah rancangan seperti Felda. Mereka mempunyai hak menuntut tanah namun tidak sesuai untuk membandingkan dengan apa diperoleh bumiputera dan orang Melayu kerana setiap kaum diberikan layanan adil mengikut keadaan mereka sejak dahulu lagi,” katanya.

Selain itu, Mohammad Shatar menjelaskan setiap pihak yang mahu membuat sebarang tuntutan kepada kerajaan perlulah mengkaji dahulu tuntutan itu sama ada mengikut peraturan agar memudahkan kerajaan untuk membuat keputusan mengenai tuntutan mereka itu.

Terdahulu, Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang membuat 25 tuntutan antaranya meminta agar menyediakan lebih banyak peluang kepada kaum India berpendapatan rendah bagi memperbaiki taraf hidup termasuk pemberian tanah rancangan seperti Felda selain peluang meneruskan pengajian di UiTM.

Bagaimanapun, tuntutan Hindraf itu telah mendapat reaksi dari banyak pihak dan dilihat tidak sepatutnya membuat tuntutan yang melibatkan Perlembagaan. Malah, Polisi penubuhan UiTM sudah jelas menunjukkan adalah memberi pendidikan kepada orang-orang Melayu dan Bumiputera. -utaranews.com