Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan melepaskan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri sekira...

Wan Azizah akan letak jawatan TPM jika Anwar jadi Perdana Menteri


Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan melepaskan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya suaminya yang juga Ketua Umum PKR dan Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi Perdana Menteri bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Anwar dalam program Terus Terang Khas Anwar Ibrahim anjuran Invoke Malaysia yang disiarkan secara langsung melalui laman media sosial Facebook Rafizi Ramli.

“Sebaik saya ambil alih (jawatan) Perdana Menteri, (Dr Wan) Azizah akan berundur dan Azizah bukan nak meneruskan (tugasan sebagai Timbalan Perdana Menteri),” kata Anwar.

Beliau berkata, selepas Pakatan Harapan menang dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu dan berjaya membentuk kerajaan Persekutuan, Wan Azizah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Kata Anwar, sementara Manifesto Pakatan Harapan pula menyatakan beliau akan menggantikan tempat Mahathir.

Beliau juga berkata, dari situ terdapat bermacam-macam tohmahan dengan mengatakan Wan Azizah dijadikan boneka kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Mahathir sebelum tiba gilirannya untuk memerintah negara.

Ketua Umum PKR itu berkata, Wan Azizah tidak perlu membuktikan apa-apa di sebalik persepsi bahawa beliau hanya sekadar boneka atau ‘seat warmer untuk jawatan berkenaan.

“Tuduhan Dr Wan Azizah boneka hanya tohmahan. Tak apalah, itu persepsi mereka. Dr Wan Azizah aktif dalam politik selepas saya dipenjarakan tahun 2000.

“Dia tak perlu nak buktikan apa-apa atas tuduhan pihak tertentu itu, boneka ke apa ke… yang penting khidmatnya dalam parti dapat bertahan, walaupun dalam keadaan saya dipenjara,” katanya. - Utaranews.com