Dalam satu kenyataan media, Pas mendakwa orang-orang Cina kini cukup marah dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila telah gagal menun...

Benarkah orang cina semakin benci pada Kerajaan Pakatan?


Dalam satu kenyataan media, Pas mendakwa orang-orang Cina kini cukup marah dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila telah gagal menunaikan kesemua janji manifesto dalam tempoh 100 hari.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, lebih membangkitkan kemarahan orang Cina apabila kepemimpinan PH bukan hanya gagal menunaikan janji malah memberi pelbagai helah yang tidak masuk akal.

Kata beliau, bagi orang Cina, tindak-tanduk sedemikian merupakan isu yang cukup besar.

"Berdasarkan beberapa petunjuk, orang Cina cukup marah pada pembohongan kerana mereka berpegang teguh pada kesetiaan dan janji. Apabila kerajaan PH membuat janji dalam manifesto 100 hari, tetapi tidak tunaikan janji, bagi orang Cina ia adalah isu besar kerana bagi mereka pemimpin tidak boleh berbohong.

"Apabila pemimpin berbohong pada rakyat, orang Cina tak boleh terima sebab itu memang sudah ditanam dalam jiwa dan hati mereka. Sebab itu ini adalah isu besar, jika gagal tunai janji dan buat pelbagai helah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.

Dalam pada itu, Bendahari Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Pusat, Kong Tuck Wah berkata, ramai masyarakat Cina melabelkan PH sebagai kerajaan yang tidak menunaikan janji.

"Parti politik mesti tunaikan janji, hari ini menang pilihan raya minyak turun tetapi minyak turun dalam tangki sahaja sedangkan pada 1999, kerajaan Terengganu menang, esoknya terus hapuskan tol.

"Ini kerajaan yang kita mahu, jadi saya harap orang Cina jangan menggunakan sebelah telinga sahaja tetapi kedua-duanya iaitu mendengar juga suara kerajaan dan pembangkang,” katanya. - UO