Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan dikurangkan sedikit demi sedikit sebelum dihapuskan dalam masa terdekat. Perdana Menteri, Tun Dr. ...

BR1M akan dihapuskan kerana rakyat sudah terlalu manja.. - PM


Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan dikurangkan sedikit demi sedikit sebelum dihapuskan dalam masa terdekat.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ia terpaksa dilakukan memandangkan rakyat terlalu dimanjakan oleh pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehubungan itu, Dr. Mahathir menegaskan, rakyat tidak patut merasakan mereka boleh mendapatkan wang tanpa bekerja.

"Najib memanjakan rakyat dengan membuatkan mereka fikir tanpa melakukan sebarang kerja kerajaan akan berikan wang kepada mereka.

"Sekarang kita tidak boleh berikan mereka wang kerana kita tidak mencuri wang, tetapi mereka masih mahu wang (BR1M),” katanya dipetik menerusi wawancara bersama portal The Malaysian Insight, hari ini.

BR1M mula diperkenalkan pada 2012 oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang bertindak sebagai mekanisme utama penyampaian subsidi sasar yang diguna pakai bagi menggantikan sistem subsidi pukal sebelum ini yang kurang berkesan dan mengalami ketirisan.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mengumumkan Bantuan Sara Hidup (BSH) bagi menggantikan BR1M.

Menurut Perdana Menteri, objek­tif kerajaan PH adalah untuk menyediakan peluang pekerjaan sebanyak mungkin menerusi pelaburan asing dan domestik untuk menjadikan rakyat lebih bebas.

"Kita akan kurangkan sedikit demi sedikit apa yang kita berikan kepada mereka dan jelaskan kepada mereka apa objektif kita.

"Saya sentiasa cakap mengenai tongkat. Buanglah tongkat anda, berjalan di atas kaki sendiri. Barulah anda menjadi kuat dan anda akan jadi lebih baik,” katanya.

Tambahnya, jika kerajaan hanya berterusan menyuap rakyat maka mereka akan menjadi lemah. - UO