Cadangan menetapkan harga siling bagi kadar caj perundingan kesihatan di hospital dan klinik swasta di seluruh negara sehingga RM125 adal...

Caj RM125 bagi perundingan kesihatan klinik dan hospital swasta dibantah


Cadangan menetapkan harga siling bagi kadar caj perundingan kesihatan di hospital dan klinik swasta di seluruh negara sehingga RM125 adalah keterlaluan, dakwa Dewan Pemuda Pas.

Timbalan ketuanya, Khairil Nizam Khirudin berkata, sekiranya Kementerian Kesihatan melaksanakan cadangan tersebut, maka kadar caj yang akan dikenakan kepada rakyat di negara ini adalah antara yang tertinggi di Asia.

"Cadangan yang dijangka bermula pada tahun 2019 ini sangat keterlaluan. Mengapa perlu naik sehingga 300 peratus, sedangkan sebelum ini caj yang dikenakan berpatutan iaitu sekitar RM30 sahaja.

"Walaupun hospital swasta tidak dikenakan Cukai Perkhidmatan 2018 (hanya wad dan makanan sahaja), tetapi cadangan ini akan meningkatkan kos perubatan terhadap rakyat,” katanya dalam satu kenyatan kepada media.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Azman Abu Bakar membuat kenyataan bahawa kertas cadangan semakan caj yuran konsultasi yang akan diserahkan kepada Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad mencadangkan kenaikan kepada antara RM35 dan RM125 daripada RM10 dan RM35.

Kenaikan itu dipersetujui pada ‘Sesi Town Hall: Konsultasi Pihak Berkepentingan Bagi Cadangan Semakan Caj Pengamal Am’ yang berlangsung di Kementerian Kesihatan di Putrajaya.

Menurut Khairil Nizam, Kementerian Kesihatan sepatutnya memikirkan kebajikan rakyat dengan membendung kos rawatan yang terlalu tinggi di semua klinik dan hospital swasta termasuk harga ubat-ubatan.

"Menurut Bank Negara Malaysia, kadar inflasi kos perubatan di negara ini berada pada paras 12 peratus.

"Berdasarkan kajian dilakukan oleh Marsh Insurance Broker, Malaysia mengalami kadar inflasi perubatan ketiga tertinggi dalam kalangan 11 negara Asia selepas India (14 peratus) dan Indonesia (13.1 peratus),” katanya.

Jelasnya lagi, tambahan cadangan ini seiring langkah Kementerian Kesihatan memperkenalkan skim insurans kesihatan sosial bagi isi rumah berpendapatan rendah (B40) tahun hadapan.

"Walaupun ia masih di peringkat perancangan, namun ia seolah-olah menggambarkan kerajaan secara beransur semakin mengurangkan subsidi di sektor kesihatan.

"Hal ini bermakna, tekanan kos sara hidup rakyat khususnya B40 dan M40 semakin tinggi sekarang. PH bukan kerajaan kebajikan rakyat secara umum, sebaliknya pro kumpulan bisnes,” katanya.