Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah menjelaskan, tindakan kerajaan Pakatan Harapan mendedahkan jumlah sebenar hutang dan...

Dedah hutang negara - Kerajaan PH nafi berniat burukkan kerajaan terdahulu


Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah menjelaskan, tindakan kerajaan Pakatan Harapan mendedahkan jumlah sebenar hutang dan liabiliti ditanggung negara berjumlah RM1.087 bilion atau 80.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), bukan bertujuan memburukkan kerajaan terdahulu.

Beliau menegaskan, pendedahan itu dibuat agar menjadi pedoman kepada kerajaan sedia ada bagi menguruskan kewangan negara dengan lebih bijak dan berhemah di samping meyakinkan pelabur dalam jangka sederhana dan panjang.

"Tiada niat dan hasrat untuk memburukkan mana-mana pihak termasuk kerajaan terdahulu. Ia sebagai peringatan kerajaan inilah kedudukan hutang langsung dan liabiliti yang ada supaya dapat menguruskan kewangan negara dengan lebih bijak dan berhemah dan dapat menilai wang bagi setiap projek dilaksanakan untuk rakyat,” katanya di Dewan Negara.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Yahaya Mat Ghani yang meminta kerajaan menyatakan jumlah sebenar hutang negara supaya tiada unsur eksploitasi angka bagi mewujudkan persepsi negatif kepada kerajaan terdahulu dan niat mengelirukan rakyat.

Amiruddin berkata, kerajaan mengambil langkah melaporkan kedudukan keseluruhan hutang dan liabliti yang komprehensif selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), selaras manual Statitik Hutang Sektor Awam (PSDS) dan Piawaian Antarabangsa Perakaunan Sektor Awam (IPSAS).

"Oleh yang demikian, secara keseluruhan jumlah komitmen hutang dan liabiliti kerajaan berjumlah RM1,087 bilion atau 80.3 peratus daripada KDNK.

"Kesemua ini adalah obligasi tunai kerajaan sehingga tahun 2045 yang perlu ditanggung melalui peruntukan tahunan bagi membiayai bayaran khidmat hutang dan bayaran pokok hutang serta bayaran pajak kewangan,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, kedudukan hutang kerajaan adalah RM686.8 bilion atau 50.8 peratus KDNK, manakala liabiliti luar jangka pada 2017 ialah RM199.1 bilion atau 14.6 peratus.

Katanya, kerajaan turut menanggung liabiliti bersih syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM38.3 bilion atau 2.8 peratus daripada KDNK.

"Kerajaan juga menanggung bayaran pajakan kewangan bagi tempoh 2017 sehingga tahun 2045 bagi projek kerjasama awam-swasta (PPP) berjumlah RM201.4 bilion (14.9 peratus daripada KDNK,” katanya.