Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming mengakui minat pelabur di Malaysia terjejas pada peringkat awal...

Faktor Mahathir dijangka mampu tarik minat ramai pelabur ke Malaysia


Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming mengakui minat pelabur di Malaysia terjejas pada peringkat awal perubahan kerajaan kerana barisan kabinet sedang dibentuk, namun selepas itu ramai pelabur termasuk dari Jepun mula menunjukkan semula minat mereka.

Beliau juga menegaskan bahawa minat para pelabur terhadap Malaysia semakin meningkat kini dan ianya dijangka akan terus berkembang dimasa akan datang.

Walaubagaimanapun, beliau tidak memberikan sebarang angka terkini kerana perkara itu sedang dikumpulkan. Selain itu, minat pelabur terhadap Malaysia meningkat kerana kerajaan baru ini mempunyai sesuatu yang unik untuk ditampilkan kepada dunia.

"Kita ada cerita yang baik untuk diberitahu kepada mereka termasuk mempunyai seorang Perdana Menteri berusia 93 tahun memimpin negara selain barisan kabinet baharu yang sudah bersedia dengan idea baharu,” katanya selepas merasmikan Persidangan Dasar Pandang ke Timur (LEP) 2018.

Ditanya berhubung laporan mengatakan terdapat banyak syarikat di Singapura menunjukkan minat untuk berpindah ke Johor, terutamanya Iskandar Malaysia kerana kos yang lebih murah, Kian Ming percaya perkara itu bukan hanya disebabkan faktor berkenaan, malah bukti kerja keras yang dilakukan pihak terlibat.

"Ini kerja keras yang telah dilakukan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Khazanah Nasional termasuk i2M Ventures dalam mewujudkan ekosistem yang terbaik di Iskandar Malaysia.

"Ekosistem yang disediakan itu juga bukan hanya tertumpu dalam sektor pembuatan, malah pelbagai sektor seperti pendidikan dan perkhidmatan yang sedang berkembang di wilayah pembangunan tersebut,” katanya.