Walaupun terdapat pelbagai kecaman dari rakyat terhadap kerajaan Pakatan yang didakwa lebih "mesra LGBT", pihak kerajaan berteg...

Kerajaan PH tak akan benarkan parti GAY di Malaysia


Walaupun terdapat pelbagai kecaman dari rakyat terhadap kerajaan Pakatan yang didakwa lebih "mesra LGBT", pihak kerajaan bertegas tidak akan meluluskan sebarang program berkaitan parti gay yang diadakan pihak tidak bertanggungjawab di ibu negara, awal bulan depan.

Menteri Wilayah, Khalid Abd Samad berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima permohonan daripada mana-mana pihak berhubung penganjuran program sedemikian.

Bagaimanapun, katanya, jika ada laporan dibuat, Kementerian Wilayah akan melakukan siasatan dan mengambil tindakan lanjut.

"Kalau orang buat (anjurkan program berunsur seperti pesta gay), kemudian mereka iklankan, kita akan cari di mana lokasinya dan sebagainya. Namun, setakat ini, kami tidak menerima apa-apa permohonan.

"Ada pihak tertentu iklankan dalam Internet dan kita pun tidak tahu kecuali kalau memang kita cari (maklumat itu). Lagipun kita tidak pasti sejauh mana kebenaran iklan itu," katanya dalam satu keyataan media.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pesta gay anjuran pihak tidak bertanggungjawab di Kuala Lumpur awal bulan depan, menerusi promosi di laman sesawang.

Sementara itu, Khalid turut meminta orang ramai supaya membuat aduan menerusi jabatan aduan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) jika menerima maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan seperti pesta berkenaan.

"Kalau ada laporan, kita akan ambil tindakan. "Kebiasaannya, mereka yang lakukan program secara haram ini ada 'complicated style of messaging'. Maksudnya bila sudah daftar dalam satu web, kemudian mereka akan diberi maklumat tambahan dan dari situ baru tahu alamat sebenar lokasi program berkenaan, bukan seperti yang dipromosi dalam iklan," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Khalid berkata, beliau menerusi peguamnya akan memfailkan saman dalam tempoh terdekat ini terhadap Pengerusi Gerakan Muslimah, Wan Asshima Kamaruddin berhubung dakwaan yang mengaitkan beliau dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menganjurkan pesta gay terbesar di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada 20 Ogos lalu, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Wilayah, Zulhazmi Shariff dan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hisham Fauzi membuat laporan polis susulan dakwaan dibuat Wan Asshima.

Wan Asshima sebelum ini didakwa menuduh Khalid dan Mujahid membenarkan penganjuran pesta gay besar-besaran melalui video di laman Facebook miliknya, namun ia telah dipadam. - SH