Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diingatkan untuk tidak membuat kesilapan dalam hal membabitkan pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) atau sebe...

Nik Nazmi bantah cadangan hapuskan BR1M oleh Tun Mahathir


Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diingatkan untuk tidak membuat kesilapan dalam hal membabitkan pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) atau sebelum ini dikenali sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Ketua Pemuda PH Nik Nazmi Nik Ahmad berkata sebarang keputusan perlu dibuat melalui persetujuan gabungan semua parti komponen dalam PH dan kabinet kerajaan susulan manifesto parti telah menjanjikan bahawa BR1M akan dikekalkan untuk golongan B40 (mereka berpendapatan bawah RM3,000 sebulan).

"Sebarang perubahan mesti memastikan penerima tidak terkesan sehingga menjadi lebih susah. Pakatan Harapan tidak boleh membuat kesilapan dalam hal ini, sejarah akan menilai kita," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan media berhubung keputusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengurangkan pemberian jumlah BR1M sedikit demi sedikit sebelum dihapuskan.

Nik Nazmi yang juga Anggota Parlimen Setiawangsa berkata perkara tersebut tentu menimbulkan kegusaran penerima BSH kerana pemberian wang sudah menjadi bantuan hayat bagi kebanyakan mereka.

Beliau mengakui sistem BSH perlu diteliti semula agar ia menepati matlamat untuk mengurangkan jurang pendapatan dalam masyarakat dan membolehkan penerima berdiri di atas kaki sendiri.

Perancangan ini mestilah dibuat dengan telus dan informasi hendaklah disampaikan kepada rakyat dengan jelas untuk mengelakkan daripada berlaku salah faham, katanya. -- BERNAMA