Wartawan Wall Street Journal (WSJ) yang membongkar skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB),Tom Wright dan Bradley Hope mendakwa apa y...

Dokumen Dana RM 2.6b Najib meragukan dan berunsur penipuan?


Wartawan Wall Street Journal (WSJ) yang membongkar skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB),Tom Wright dan Bradley Hope mendakwa apa yang didedahkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak berhubung pembiayaan dana daripada bekas Raja Arab Saudi yang mangkat, Allahyarham Raja Abdullah Abdul Aziz bukanlah sesuatu yang baharu.

Wright menerusi akaun twitternya berkata, pihaknya telah lama memiliki dokumen yang didakwa oleh Najib sukar untuk dimiliki sebelum ini.

Malah, Wright berkata, pendedahan yang dibuat oleh Najib bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa beliau menerima AS$681 juta tunai daripada 1MDB.

Sementara itu, Hope menerusi akaun Twitternya berkata, dokumen yang didedahkan Najib diragui kesahihannya dan mendakwa seolah terdapat unsur penipuan.

"Dokumen yang anda sertakan adalah sebahagiannya mengelirukan (iaitu pemindahan, yang melindungi asal sebenar dana) dan sebahagiannya berdasarkan penipuan yang didakwa (surat yang dikatakan berasal dari putera Saudi, yang diwujudkan untuk mengelirukan pengawal selia dan bank),” kata beliau.

Semalam, Najib buat pertama kali mendedahkan beberapa dokumen membabitkan perjanjian pembiayaan kewangan daripada bekas Raja Arab Saudi yang mangkat, Allahyarham Raja Abdullah Abdul Aziz.

Najib menjelaskan, pendedahan itu bagi mengesahkan dana RM2.6 bilion dimilikinya adalah derma daripada keluarga diraja berkenaan selain untuk membersihkan namanya daripada pelbagai tuduhan dan fitnah.