Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyindir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang disifatkan 'rajin' selepas membua...

Guan Eng anggap Najib hanya pandai buat cerita dongeng.


Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyindir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang disifatkan 'rajin' selepas membuat beberapa kenyataan dalam sehari menerusi laman sosial.

Beliau memberi reaksi itu ketika ditanya pemberita mengenai pendedahan terbaharu Najib yang juga bekas Menteri Kewangan berkenaan dana berbilion ringgit yang diterima daripada kerajaan Arab Saudi.

Berhubung pendedahan itu, Guan Eng bagaimanapun mengakui beliau tidak membaca apa yang didedahkan dan dijelaskan Najib menerusi laman sosial Facebook tersebut.

Dalam masa sama, katanya, beliau menyerahkan kepada pihak bertanggunggjawab termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Jabatan Peguam Negara sekiranya perkara berkenaan menyentuh bidang kuasa pihak terbabit.

"Saya belum baca lagi kenyataan terbaharu Najib, saya pun tidak faham, seperti isu GST, kapal layar dan wang yang dipunggah dari peti besi, penjelasan yang diberikan tidak masuk akal.

"Kadang-kadang saya baca seperti kisah dongeng. Berkenaan pendedahan terbaharu itu, kalau perlu saya beri maklum balas, sebab akan ada pihak bertanggungjawab yang akan lihat perkara ini,” katanya kepada media.

Semalam, menerusi laman Facebooknya, Najib buat pertama kali mendedahkan beberapa dokumen membabitkan perjanjian pembiayaan kewangan daripada bekas Raja Arab Saudi yang mangkat, Allahyarham Raja Abdullah Abdul Aziz.

Menurut Najib, pendedahan itu bagi mengesahkan dana RM2.6 bilion dimilikinya adalah derma daripada keluarga diraja berkenaan selain untuk membersihkan namanya daripada pelbagai tuduhan dan fitnah.