Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengucapkan tahniah kepada Mahkamah Syariah Negeri Terengganu apabila berjaya melaksanakan sebata...

Lesbian Terengganu - Persatuan Peguam Syarie sokong hukuman sebat


Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengucapkan tahniah kepada Mahkamah Syariah Negeri Terengganu apabila berjaya melaksanakan sebatan syariah terhadap dua pelaku musahaqah (lesbian) dalam keadaan baik.

Presidennya, Musa Awang berkata, proses hukuman sebat hari ini telah membuktikan kepada masyarakat bahawa Islam dan syariah menyantuni setiap insan walaupun mereka melakukan kesalahan.

Katanya, sebatan syariah dijalankan dalam keadaan berpakaian menutup aurat, dengan pemeriksaan pasukan perubatan terlebih dahulu, ringan dan tidak melukakan.

"Pesalah didudukkan di atas kerusi dan disebat menggunakan rotan. Cara sebatan dilakukan mengikut hukum Islam yang ditetapkan, di mana tangan pelaksana hukuman juga tidak diangkat tinggi, seperti kebiasaan hukuman sebat pesalah jenayah sivil.

"Sebatan syariah yang dijalankan masih melindungi maruah pesalah berbanding hukuman sebat di Mahkamah Sivil di mana pesalah akan ditelanjangkan dan hanya bahagian kemaluan sahaja ditutup dengan kain atau cawat manakala bahagian punggung pesalah akan diikat pada abah-abah dengan tali pinggang.

"Ketika pelaksanaan hukuman sebat syariah, pesalah dibenarkan memakai pakaian dan menutup keseluruhan aurat, baik lelaki atau wanita. Ia juga menunjukkan bahawa sebatan syariah tidak kejam dan zalim sebagaimana didakwa sesetengah pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas hukuman sebatan ke atas pesalah dua wanita lesbian, mengikut hukum syarak dan perutukan Seksyen 125 Enakmen Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah Terengganu 2001.

Untuk rekod, pesalah telah dijatuhkan hukuman dengan enam sebatan dan RM3,300 denda atau penjara sekiranya gagal atas kesalahan musahaqah iaitu perhubungan sesama jenis perempuan mengikut Seksyen 30 Enakmen Jenayah Syariah (Takzir) Negeri Terengganu 2001.

Pesalah telah mengaku bersalah dan tidak merayu di atas hukuman yang dijatuhkan ke atas mereka.

Mengulas mengenai hukuman di khalayak ramai, Musa berkata, kehadiran orang awam ketika pelaksanaan hukuman sebatan bukan bertujuan menjatuhkan kehormatan pesalah, tetapi memberi mesej kepada orang lain mengenai kesalahan dan akibatnya.

"Kehadiran orang awam yang menyaksikan bukan diukur pada sedikit atau ramai tetapi sejumlah orang yang boleh menghebah dan menimbulkan pencegahan dan ia berbeza mengikut keadaan tempat dan peribadi seseorang,” katanya. - IsmaWeb