Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan keyakinan bahawa kebenaran akan terserlah. "Setiap manusia ALLAH beri...

Najib serah kepada Allah SWT untuk tunjukkan siapa yang benar.


Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan keyakinan bahawa kebenaran akan terserlah.

"Setiap manusia ALLAH berikan kelebihan dan kekurangan. Setiap hari kehidupan ada nikmat dan ujian . Terima kasih kepada semua yang doakan untuk saya.

"Hanya ALLAH sahaja mampu membalas, hanya Allah sahaja tahu apa yang saya rasai dan lalui. Saya yakin kebenaran akan terserlah," katanya dalam satu kenyataan, di Facebook miliknya.

Sementara itu dalam status lain yang dimuat naik, Najib menafikan meminta pihak lain menjalankan kutipan sumbangan bagi membayar ikat jamin seperti yang tular di media sosial.

Katanya, beliau kini telah dibenarkan pulang ke kediaman dan wang jaminan akan diuruskan bermula esok oleh ahli keluarga dan peguamnya.

"Saya berterima kasih kepada saudara-saudari atas sokongan dan kesudian membantu saya. Namun, ingin saya jelaskan bahawa saya tidak pernah meminta mana-mana pihak meraih sumbangan seperti tular di media sosial.

"Saya kini telah dibenarkan pulang ke kediaman dan wang jamin akan diuruskan mulai esok oleh ahli keluarga dan peguam saya. Semoga saudara-saudari dapat doakan kekuatan dan kesihatan untuk saya dan keluarga," katanya.

Najib semalam dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap 25 pertuduhan iaitu empat pertuduhan rasuah dan 21 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan sejumlah RM2.28 bilion.

Najib, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan bagi kesemua pertuduhan tersebut. Bagi empat pertuduhan di bawah akta SPRM, Najib didakwa sebagai badan awam iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion.

Suapan berkenaan diperoleh dengan cara memberi jaminan kepada Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) bagi membolehkan TIA mendapat pinjaman sehingga RM5 bilion serta memutuskan kerajaan mengambil alih TIA menyebabkan nama badan itu ditukarkan kepada 1MDB.