PAS menganggap keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia menunjukkan isyarat awal sokongan rakyat terhadap perjuangan parti itu. Wa...

PRK Seri Setia isyarat awal sokongan rakyat terhadap PAS?


PAS menganggap keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia menunjukkan isyarat awal sokongan rakyat terhadap perjuangan parti itu.

Walaupun tidak berjaya memenangi kerusi tersebut, namun, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, peratusan keluar mengundi yang rendah juga merupakan petanda undi protes terhadap Kerajaan Pakatan Harapan.

"PAS menghormati keputusan rakyat dalam PRK Seri Setia dan mengucapkan terima kasih kepada para pengundi di atas kepercayaan yang diberikan.

"PAS juga komited untuk terus memperjuangkan nasib rakyat, dan sedia menjadi pembangkang yang menasihat serta bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak demi mewujudkan keamanan dan kesejahteraan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

PRK DUN Seri Setia menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon PH, Halimey Abu Bakar dan Dr Halimah Ali daripada PAS.

PH berjaya mengekalkan kerusi DUN Seri Setia pada PRK kawasan itu, setelah calonnya, Halimey Abu Bakar menang dengan majoriti 4,027 undi semalam.

Beliau yang mendapat 13,725 undi mengalahkan lawannya, Dr Halimah Ali yang memperoleh 9,698 undi.

PRK ini menyaksikan berlaku kekurangan undi majoriti oleh calon PH sebanyak 15,345 undi, berbanding yang diperolehi penyandangnya, Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, sebanyak 19,372 undi.