Barisan Nasional (BN) memerlukan seorang calon yang benar-benar dikenali di Negeri Sembilan untuk memberi tentangan kepada Datuk Seri Anw...

Tiadakah nama besar UMNO yang mampu tumbangkan Anwar di Port Dickson?


Barisan Nasional (BN) memerlukan seorang calon yang benar-benar dikenali di Negeri Sembilan untuk memberi tentangan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr Muhammad Fuad Othman berkata, calon itu juga perlu benar-benar bersih dan sudah lama berbakti di kawasan berkenaan.

Jelasnya, BN juga harus menyedari nama Anwar yang terbukti besar dalam pentas politik negara.

"Calon bagi pihak BN mestilah dari kalangan mereka yang ada kredibiliti dan nama besar di Negeri Sembilan.

"Mungkin pada masa sama juga perlu dilihat rekod baik, yang telah mula bekerja menyumbang bakti kepada rakyat khususnya di kawasan Port Dickson, mempunyai sahsiah dan rekod bersih. Ini semua kriteria yang dilihat rakyat ketika ini.

"Saya nampak kalau dari segi pengalaman pentadbiran, nama yang besar dan pengalaman luas mungkin bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan antara yang sesuai sebab dia mempunyai jenama baik dan menang dalam PRU lepas, sama ada nama beliau cukup hendak melawan nama besar Anwar, kita akan lihat dalam PRK akan datang ini," katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mencadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Abdul Rahman Mohd. Redza sebagai calon menentang Anwar di PRK Port Dickson.

Jelas Khairy, biarpun ramai yang mencadangkan nama Mohamad, namun beliau merasakan adalah lebih baik parti itu diwakili anak tempatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Muhammad Fuad menjelaskan, sokongan Anwar tidak hanya dilihat daripada Melayu malah kaum lain seperti yang dibuktikan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

"Kalau kita lihat pola pengundian kepada penyokong Pakatan Harapan (PH) ini dalam banyak keadaan pengundi bangsa India dan Cina ini mereka beri undi kepada PH dalam PRU lepas.

"Itu tidak jadi suatu masalah untuk PH ditambah mungkin ada pecahan dalam BN khususnya dalam UMNO mungkin beri kelebihan kepada calon PH.

"Secara asasnya pengalaman Anwar dan nama besar dia membawa kemungkinan itu menjadi faktor menarik sokongan bukan sahaja Melayu tetapi Cina dan India," ujarnya.

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran pada Khamis mengesahkan, partinya tidak akan bertanding dalam PRK Parlimen Port Dickson. Kerusi Parlimen Port Dickson kosong selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta pada Rabu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Danyal Balagopal menang dengan majoriti 17,110 undi menewaskan calon BN, Datuk Mogan Velayatham yang memperoleh 18,515 undi dan Mahfuz Roslan dari Pas (6,594).