HAMPIR lima bulan saya menjadi menteri. Daripada cuma seorang pensyarah marhaen, yang pagi petang mengajar, membaca, menyelidik, menulis ...

"Budaya sistem pendidikan jadi faktor kejayaan polisi.." - Dr Maszlee


HAMPIR lima bulan saya menjadi menteri. Daripada cuma seorang pensyarah marhaen, yang pagi petang mengajar, membaca, menyelidik, menulis dan meluangkan masa bersama pelajar, terus secara drastik bertukar menjadi orang besar bergelar “menteri” dan memegang pula antara portfolio yang besar dan mustahak kepada masa depan negara.

Jika difikirkan, saya sendiri sangat terkejut dengan perjalanan takdir ini. Mereka yang mengenali saya khususnya pelajar-pelajar saya akan tahu, betapa menjadi orang politik bukanlah cita-cita saya.

Saya beritahu mereka, saya cuma pensyarah sains politik, bukan ahli politik. Apa yang tidak kita sangkakan itulah yang berlaku. Dan inilah apa yang dinamakan sebagai “takdir”. Sejenis rahsia yang tiada sesiapa mampu menghurainya. Dan kita, sebagai hamba, hanya mampu menadah tangan dan bersyukur di atas segala-galanya.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 117: “ALLAH jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Dia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Dia hanya berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!" Lalu menjadilah ia.” (2:117)

Apa yang paling mencabar bagi saya ialah untuk merealisasikan harapan yang saya sendiri tanamkan. Pengalaman saya berinteraksi bersama pelajar khususnya remaja, ramai di antara mereka yang sudah berputus asa dengan politik.

Saya tekankan kepada mereka bahawa politik tidak rosak, yang rosak ialah ahlinya. Di dalam buku saya “Menuju Sejahtera Meraih Bahagia" yang diterbitkan oleh Karya Bestari, saya tekankan bahawa ruang politik ialah ruang islah dan tajdid.

Saya sebutkan, “seorang homo-islamicus secara semulajadinya merupakan seorang warga politik. Mereka dilahirkan untuk menjayakan misi keadilan, keamanan, dan juga mengislahkan muka bumi ini.” (Malik, 2014).

Dan hari ini, saya berada di ruang itu dan saya perlu bekerja keras lagi untuk menjayakan misi saya sebagai homo-islamicus secara umumnya, dan memastikan bahawa pendidikan negara kita diperbaiki, dan dipertingkatkan mutu dan kualitinya.

Ada yang mengatakan bahawa saya lambat bekerja, walaupun Kementerian saya antara kementerian yang mempunyai inisiatif terbanyak selepas 100 hari dan setiap hari, saya keluar awal pagi dan balik lewat malam untuk memastikan 24 jam saya digunakan sebaiknya.

Saya melawat sekolah, melawat universiti, berjumpa dengan ramai pemegang taruh (stakeholders) yang lain untuk memastikan bahawa saya tidak membuat polisi bersifat top-down tanpa melihat masalah dari akar umbi.

Pendekatan saya, setiap polisi mestilah bersifat bottom-up dan permulaan bagi setiap polisi ialah pengenalpastian masalah dari akar umbi. Namun, polisi sahaja tidak memadai. Budaya dalam sistem pendidikan kita adalah faktor yang sangat besar terhadap kejayaan perlaksanaan sesuatu polisi.

Sebab itu saya semarakkan tiga teras budaya yang akan sentiasa saya ulang di mana-mana sahaja. Tiga teras budaya tersebut ialah kasih-sayang, saling hormat-menghormati dan kebahagiaan.

Buat masa ini, masa tidak menyebelahi saya. Saya cuma ada kemampuan untuk bekerja lebih keras dan tekun. Mungkin saya tidak mampu untuk memuaskan hati semua orang, tetapi sekurang-kurangnya, saya mencuba dan sudah melakukan yang terbaik.

Yang terakhir, saya teringatkan kepada firman Allah yang berbunyi, “... mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.” (32:16) Begitulah kita, sebagai hamba, kita terus memberi bukan untuk mendapatkan balasan dari manusia, sebaliknya mendapat keredhaan dari-Nya.

- *Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia