Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pengundi Orang Asli di Cameron Highlands agar memberi kepercayaan kepada calon Pakatan Har...

Anwar janji kerajaan PH akan ubah kehidupan masyarakat Orang Asli


Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pengundi Orang Asli di Cameron Highlands agar memberi kepercayaan kepada calon Pakatan Harapan, M.Manogaran untuk pihaknya melakukan perubahan.

Ketika berucap di hadapan kira-kira 200 anggota komuniti Orang Asli Pos Betau dekat sini, semalam, Anwar berkata, pengundi Parlimen Cameron Highlands harus percaya dan yakin bahawa kerajaan PH akan menyalurkan peruntukan sebaik sahaja calonnya diberi mandat dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu.

"Berapa lama dah kerajaan BN memerintah, tengok cara hidup Orang Asli, saya tak kata tiada perubahan langsung, tapi sedikit sekali perubahan yang mereka lakukan.

"Tanggungjawab kita, kita tidak mahu lagi mana-mana masyarakat terpencil. “Sebab itu saya minta kawan-kawan kali ini kita kalahkan BN dan sokong PH dan saya yakin dia (Manogaran) akan bercakap (masalah) bagi pihak semua rakyat,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa Pakatan Harapan tidak menggunakan pendekatan politik wang ketika berkempen sebagaimana Barisan Nasional bagi mendapatkan sokongan.

"Saya ucap terima kasih kepada anda semua kerana sanggup bersusah payah datang. Saya hanya boleh beri jaminan, kita berkempen tidak macam BN, asal dekat pilihan raya bagi duit, bagi duit dan itu ini selepas itu hilang selama 5 tahun.

"Saya masa berkempen Ahli Parlimen Port Dickson 2 bulan lalu tak bagi (duit). Sebaik menang, menteri turun, projek turun, masjid surau, tokong, termasuk (di) kampung Orang Asli kita bagi perhatian,” katanya.