Pakatan Harapan (PH) masih belum dapat meyakinkan pengundi Melayu bahawa "Malaysia Baru" bukanlah satu ancaman, kata veteran Pa...

Bangsa melayu harus terima realiti PH/DAP sebagai kerajaan Malaysia Baru


Pakatan Harapan (PH) masih belum dapat meyakinkan pengundi Melayu bahawa "Malaysia Baru" bukanlah satu ancaman, kata veteran Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Kit Siang.

Apabila ditanya mengenai strategi gabungan pemerintah untuk meyakinkan pengundi Melayu berikutan kekalahannya dalam pilihan raya kecil Cameron Highlands, Lim berkata bahawa PH mesti membantu pengundi Melayu memahami bahawa kerajaan baru ini tidak akan mengancam kepentingan mereka.

"Keputusan di Prk Cameron Highlands menunjukkan bahawa matlamat kami masih jauh.

"Kami perlu membuat mereka memahami bahawa Malaysia Baru akan memenuhi aspirasi semua rakyat Malaysia dan bukan satu ancaman," katanya kepada media selepas pelancaran sebuah buku di Petaling Jaya.

"Kami menyedari bahawa kami perlu meningkatkan kecekapan (melaksanakan) dasar kami," kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri tersebut sambil menambah bahawa kegagalan PH dalam pilihan raya kecil baru-baru ini merupakan pengajaran yang baik untuk semua parti komponennya.

Lim mengakui walaupun banyak usaha yang beliau lakukan di kalangan pengundi Orang Asli dan Melayu, itu tidak cukup "untuk mengatasi kekuatan gabungan Umno dan Parti Islam Malaysia (PAS)" di Cameron Highlands. 

Lim juga mendakwa kedua-dua parti Melayu menggunakan "politik yang sangat ganas dan berunsur pembohongan mengenai bangsa dan agama" sambil menolak tanggapan bahawa pengundi telah bosan mendengar halatuju PH tentang memerangi rasuah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelumnya.

"Saya tidak fikir begitu (pengundi yang bosan mendengar bahawa kerajaan terdahulu rasuah).

"Masalahnya adalah di Jelai (kerusi negeri) di mana majoriti orang Melayu dan Orang Asli.., dan sukar untuk mengatasi pembohongan dan kepalsuan BN." ujar beliau.

Lim yang berkempen secara meluas di Cameron Highlands dalam tempoh dua minggu yang lalu, menyifatkan bahawa PH perlu menangani sensitiviti dan keprihatinan terhadap kawasan tertentu.

"Agenda PH tidak boleh mengabaikan kawasan luar bandar, yang akan merasa tertinggal jika seluruh negara berubah.

"PH akan menghadapi ujian lain dalam pilihan raya kecil Semenyih pada 2 Mac, kerana Umno dan PAS sekali lagi dijangka bergabung dan menggunakan "politik beracun" mereka.

"Pilihan raya kecil Semenyih akan menjadi menarik dengan jangkaan bahawa Umno dan PAS akan menduplikasi strategi toksik mereka. Ia sangat memberi kesan kepada PH jika BN-PAS menang di Semenyih," tegas beliau.