Dap tetap optimistik serta yakin bahawa pengundi luar akan memenangkan calon Pakatan Harapan di Pilihanraya Kecil Cameron Highlands. Me...

DAP yakin pengundi luar akan tumbangkan BN di PRK Cameron Highlands


Dap tetap optimistik serta yakin bahawa pengundi luar akan memenangkan calon Pakatan Harapan di Pilihanraya Kecil Cameron Highlands.

Menteri Sumber Manusia yang juga Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran, berkata PRK di sini akan menjadi pertandingan yang sengit dan banyak usaha perlu dilakukan.

Namun faktor pengundi luar yang akan balik mengundi nanti diyakini akan menjamin kemenangan kepada calon DAP.

"Apa yang menjadi keutamaan sekarang adalah pengundi dari Cameron Highlands tetapi duduk di luar. Kami menyeru mereka agar pulang dan menjalankan tanggungjawab demokratik masing-masing,”

"Kami yakin, selepas tujuh bulan mengambil alih (kerajaan PH bentuk kerajaan), orang ramai akan beri sokongan kepada kami," katanya.

Kulasegaran juga berharap orang ramai terutama masyarakat Orang Asli tidak mudah percaya dengan kata-kata manis BN bagi meraih undi kerana kerajaan sekarang sudah berubah.

"Kami menyeru Orang Asal, yang merupakan faktor penentu dalam PRK ini, perlu fikir sebaik-baiknya kerana kerajaan Malaysia yang sekarang sudah berubah. Saya percaya mereka (Orang Asli) tidak mahu kerajaan yang dahulu,” katanya.

PRK Parlimen Cameron Highlands menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan calon PH, M Manogaran; calon BN, Ramli Mohd Noor, serta dua calon Bebas iaitu Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.