Tindakan undang-undang yang difailkan oleh pejabat Peguam Negara bagi pihak masyarakat Orang Asli Temiar terhadap kerajaan negeri Kelanta...

Kerajaan PH komited lindungi hak masyarakat Orang Asli.. - P. Waytha Moorthy


Tindakan undang-undang yang difailkan oleh pejabat Peguam Negara bagi pihak masyarakat Orang Asli Temiar terhadap kerajaan negeri Kelantan menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) komited melindungi hak masyarakat Orang Asli.

Dipetik dari Bernama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy, berkata Kerajaan Persekutuan sangat prihatin terhadap penafian hak Orang Asli untuk menentukan masa depan sendiri selaras dengan peruntukan undang-undang persekutuan dan undang-undang negeri yang melindungi hak mereka tetapi telah dilanggar oleh kerajaan negeri Kelantan.

"Masyarakat Orang Asli Temiar di Gua Musang berhak mendapat semua perlindungan yang sepatutnya daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini. 

Meskipun terdapat banyak undang-undang di peringkat persekutuan, Waytha berkata, Kenyataan Dasar Mengenai Pentadbiran Orang Asli Semenanjung Malaysia 1961 selain kewajiban terhadap mereka dalam perjanjian antarabangsa tetapi prinsip penentuan nasib sendiri yang menjadi aspirasi masyarakat Orang Asli diabaikan secara berterusan (oleh kerajaan negeri Kelantan).

Beliau berkata, banyak kes pencerobohan tanah masyarakat peribumi berlaku tanpa persetujuan awal mereka yang melanggar cara hidup dan menafikan hak mereka untuk mempunyai identiti dan martabat sendiri sebagai rakyat.

Jabatan Peguam Negara telah memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu bagi pihak Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor berdekatan Gua Musang.

Kenyataan itu yang memetik Peguam Negara Tommy Thomas juga berkata Jabatan Peguam Negara turut memfailkan injunksi bagi menghalang pencerobohan dan pemusnahan tanah adat demi keuntungan komersial pihak swasta.

Thomas berkata, kerajaan negeri Kelantan dan agensinya baru-baru ini telah mengeluarkan lesen pembalakan kepada syarikat swasta yang kemudian menggunakan jentera berat untuk menebang dan membawa keluar kayu balak dari kawasan hutan berkenaan.

Kawasan terbabit kemudiannya digunakan untuk penanaman pokok durian dan getah tanpa berunding dengan Orang Asli Temiar sebelum meluluskan lesen pembalakan atau menawarkan apa-apa pampasan kepada mereka.

Ini telah menyebabkan hakisan, pencemaran dan kemusnahan sistem ekologi dan landskap di Pos Simpor.