Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir bin Mohamad adalah satu-satunya pemimpin dari luar Afrika yang diberi penghormatan oleh kerajaan S...

Mahathir dinobatkan sebagai Bapa Pembangunan Moden Malaysia


Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir bin Mohamad adalah satu-satunya pemimpin dari luar Afrika yang diberi penghormatan oleh kerajaan Senegal untuk berkongsi pengalaman dan idea memajukan negara berkenaan pada Persidangan Antarabangsa Kemunculan Afrika Ketiga (ICEA-III) di Dakar, semalam.

Dalam ucapan pertama beliau, Perdana Menteri Malaysia yang ke 7 itu menjelaskan bahawa tadbir urus yang baik dan kestabilan adalah faktor penting untuk mengubah ekonomi, sekali gus membangunkan negara.

Dr Mahathir menggariskan dua faktor itu berdasarkan pengalaman beliau mentadbir dan membangunkan Malaysia dari sebuah negara membangun kepada negara berpendapatan pertengahan tinggi.

"Apa yang sangat penting dalam usaha untuk mengubah ekonomi ialah tadbir urus yang baik dan kestabilan.

"Apabila ada dua elemen itu, perkara lain akan menyusul,” katanya yang berterima kasih kepada penganjur kerana menjemputnya menyertai persidangan terbabit.

ICEA-III bertemakan Kemunculan, Sektor Swasta dan Ketrangkuman di Pusat Persidangan Antarabangsa Abdou Diouf (CICAD) di Diamniadio di sini selama tiga hari bermula semalam.

Persidangan dirasmikan Presiden Senegal, Macky Sall, disertai lebih 1,000 peserta dan agensi antarabangsa serta beberapa ketua negara dan kerajaan di Afrika.

Pada sesi pertama persidangan selepas majlis perasmian, Dr Mahathir menjadi ahli panel dialog pertingkat tertinggi yang turut disertai, Sall dan Presiden Mali, Ibrahim Boubacar Keita, diikuti tiga lagi sesi perbincangan.

Sementara itu, Presiden Macky Sall dalam ucapan perasmian berterima kasih dan menghargai penyertaan Dr Mahathir pada persidangan ini.

"Kami sangat menghargai dan sedia mendengar pengalaman dan pandangan Bapa Pembangunan Moden Malaysia pada persidangan ini,” katanya.