Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan bahawa peningkatan ‘populariti’ bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun...

Mahfuz anggap Najib lebih popular dengan skandal 1MDB


Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan bahawa peningkatan ‘populariti’ bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ini tidak menggusarkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana sememangnya bekas pemimpin negara itu sudah terkenal dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ini.

"Datuk Seri Najib ini dah terkenal di seluruh dunia dengan isu 1MDB, memang saya kena akui populariti Datuk Seri Najib memang tak pernah menurun dan dia memang popular sampai membawa Malaysia terkenal di seluruh dunia dengan skandal 1MDB.

"Jika dia popular dan berjumpa bertemu rakyat seperti terpampang di dalam media sosial, itu hak dia dan kita tidak ada halangan dan kita tak lihat sebagai satu kerisauan dengan kedudukan dan imej yang dibawa Najib itu,” katanya lagi.

Naib Presiden Amanah juga mengingatkan, meskipun bekas perdana menteri itu turut popular dalam kalangan rakyat sebelum ini, namun majoriti rakyat berpendirian tidak membenarkan Barisan Nasional (BN) memenangi pilihanraya umum ke 14 lalu.

Hasil tinjauan semasa mendapati, populariti Najib semakin meningkat terutama dalam media sosial menerusi kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands sejak akhir-akhir ini.

Bagaimanapun, tindakan Najib yang menggunakan media sosial untuk mempopularkan dirinya itu dianggap sebagai taktik murahan oleh sebilangan pemimpin kerajaan Pakatan Harapan.