Malaysia akan menjadi "miskin" jika kerajaan meneruskan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), kata Tun Dr Mahathir Moha...

Malaysia akan jatuh miskin gara-gara projek ECRL


Malaysia akan menjadi "miskin" jika kerajaan meneruskan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri, walaupun tidak mengesahkan bahawa projek itu telah dibatalkan, berkata membayar pampasan adalah lebih murah daripada jika kerajaan mengeluarkan kos untuk meneruskan projek.

Beliau juga menegaskan bahawa projek ECRL itu juga akan menambah hutang negara sekiranya diteruskan.

"Kita dibebani dengan hutang yang teruk hasil peninggalan kerajaan BN dan kita berharap semua pihak memahaminya. Kita akan menjadi miskin akibat dari projek ini jika ianya diteruskan.

"Pampasan untuk membatalkannya tidak begitu besar berbanding dengan jumlah yang perlu dibayar selama 30 tahun akan datang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Anti Rasuah Kebangsaan.

"Kita bukan tidak mahu anugerahkan kontrak tetapi tak akan mampu dibayar sebab kos projek mungkin melebihi RM100 bilion. Ini akan merosakkan kita.

"Kita memahami kesusahan semua pihak yang terlibat, dan kita bukannya mahu membatalkan kontrak tetapi kita berdepan kekangan kewangan," katanya.

Tambah pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada kontraktor projek ECRL akan lebih besar berbanding hutang negara dalam sekiranya projek itu diteruskan.

Sebelum ini status projek ECRL dipersoal susulan terdapat percanggahan kenyataan antara Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Sabtu lalu, Mohamed Azmin berkata kabinet telah memutuskan untuk penamatan kontrak projek berkenaan yang diputuskan melalui mesyuarat dua hari sebelumnya.