"Yes saya mengaku saya silap bila di rasuk syaitan dan naik marah!,” ungkap selebriti masakan terkenal Malaysia, Chef Wan didalam sa...

Mengaku 'dirasuk syaitan', Chef Wan mohon maaf pada Najib


"Yes saya mengaku saya silap bila di rasuk syaitan dan naik marah!,” ungkap selebriti masakan terkenal Malaysia, Chef Wan didalam satu permohonan maafnya terhadap bekas Perdana Menteri, DS Najib Razak hari ini.

Chef Wan juga mengakui beliau silap dan didalam keadaan marah ketika membuat kenyataan mahu menampar Najib semalam.

"To DS Najib pagi ini saya memohon maaf secara terbuka kerana bahasa yangg kasar saya telah guna kan di waktu saya merasa amat marah!

"Tetapi jika kita buat kesalahan yang besar kita mesti telan maruah diri kita untuk mengaku kesilapan diri kita as i have done this morning. Yes saya mengaku saya silap bila di rasuk syaitan dan naik marah!,” katanya menerusi akaun Instagram beliau.

Sehubungan itu, beliau meminta para penyokong Najib tidak menjadi batu api berhubung kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Ujar Chef Wan lagi, beliau tidak kisah apa pun yang akan diperkatakan oleh orang tentang dirinya, sebaliknya yang ditakuti jika tidak boleh berkata tentang kebenaran dan tidak membetulkan kesilapan orang lain.

"Saya telah buat silap dengan apa yang saya perkatakan semalam dan sekarang saya memohon maaf kepada DS (Najib). dan itu sahaja! “Saya akan terus memperjuangkan apa yang betul,” katanya.

Tambah chef selebriti itu, beliau tidak mahu menjadi manusia yang tidak berterima kasih dengan tidak menghargai sumbangan Najib kepada negara ini.

Bagaimanapun, memang adil bagi Najib sebagai seorang ahli politik dan mesti menghadapi semua kritikan secara terbuka dan rasa terhormat.

Meskipun begitu, Chef Wan tetap mempertahankan kenyataan yang dikeluarkan semalam kerana tidak bermakna apa yang dihujahnya semalam tidak betul.

"Saya berdiri di atas nama Allah untuk bercakap kebenaran,” katanya lagi.

Semalam Chef Wan terpaksa menukar akaun Instagramnya kepada versi peribadi gara-gara diserang hebat oleh netizen yang menyokong Najib Razak.

Manakala laman Facebook beliau turut menerima kecaman hebat oleh ribuan netizen yang menganggap kenyataan chef berkenaan terhadap Najib adalah sangat keterlaluan.