Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan bahawa orang Melayu akan menjadi terus mundur jika isu agama d...

Mujahid dakwa petanda buruk jika BN menang di Cameron Highlands.


Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan bahawa orang Melayu akan menjadi terus mundur jika isu agama dan bangsa asyik dijadikan agenda perjuangan mereka.

Beliau turut menyifatkan perasaan takut dalam kalangan orang Melayu terhadap kaum dan agama lain adalah sentimen dimainkan UMNO serta Barisan Nasional (BN) sebelum ini, yang tidak sepatutnya masih wujud selepas Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.

"Orang Melayu dan masyarakat Islam di negara ini tidak sepatutnya takut dengan DAP jika parti itu menang dalam pilihan raya, termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

"Jika BN menang... itu isyarat tidak baik kerana isu dimainkan mereka masih isu agama. Mereka akan kata, habislah orang Islam jika DAP menang.." tegasnya.

Sambil menolak peranan Umno yang mendakwa parti mereka sebagai pejuang melayu, Mujahid juga turut menafikan tanggapan pembangkang yang mengatakan kerajaan PH adalah dikuasai oleh DAP.

"Akan tetapi, siapa pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH)? DAP ke? Siapa menteri yang jaga agama ?DAP ke ? Tiba-tiba, hari ini mereka (UMNO) nak jadi ‘champion’ (juara) dalam isu ini pula," katanya ketika berucap dalam ceramah PH di FELDA Sungai Koyan, semalam.

Ceramah itu turut dihadiri Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo dan Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Salahuddin Ayub.