Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua mendakwa bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak cuba menggunakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Camero...

Najib didakwa cari publisiti murahan di PRK Cameron Highlands


Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua mendakwa bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak cuba menggunakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands untuk menarik perhatian murahan terhadap dirinya sendiri.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas liputan media terhadap kemunculan bekas presiden Umno itu dalam kempen BN di PRK Cameron Highlands. 

"Sebenarnya, Najib bukan satu contoh yang terbaik kerana masalah-masalah yang masih diwaris oleh masyarakat di Cameron Highlands ini, dan Najib tidak buat apa-apa sepanjang masa dia jadi perdana menteri.

"Sekarang dia mengambil kesempatan menggunakan ini (PRK) menjadikan pentas dia untuk mendapatkan 'cheap publicity' (publisiti murahan)," kata Tian Chua memetik Malaysiakini.

"Ia mungkin kerana faktor calon. Kita tidak dapat nafikan bahawa calon BN berasal dari sana. Dan juga daripada kaum Orang Asli. Dia mempunyai tarikan sendiri.

"Najib mungkin hanya mengambil kesempatan ini untuk cuba dengan gunakan pentas ini untuk seolah-olah nak membersihkan diri. Saya rasa tindakan itu adalah satu tindakan yang sangat lucu dan tidak akan mendatangkan apa-apa faedah kepada BN," katanya lagi.

Kerusi Cameron Highlands disytiharkan kosong selepas Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Lumpur membatalkan keputusan 9 Mei tahun lalu kerana amalan rasuah calon BN.

Pakatan Harapan mempertaruhkan calon DAP M Manogaran bertanding di kerusi ini dalam pertembungan empat penjuru antara calon BN dan dua calon bebas. Hari mengundi diadakan pada 26 Januari.