Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, menafikan dakwaan bahawa Pakatan Harapan (PH) menawarkan janji dan projek pembangunan serta infrastruktur...

"Offer" projek kepada pengundi Cameron Highlands, Guan Eng anggap media salah lapor


Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, menafikan dakwaan bahawa Pakatan Harapan (PH) menawarkan janji dan projek pembangunan serta infrastruktur semata-mata mahu menarik sokongan pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Cameron Highlands.

Memetik laporan dari Berita Harian, Setiausaha Agung DAP itu berkata PH tidak pernah menjanjikan sebarang bentuk bantuan kewangan atau projek pembangunan khususnya kepada pengundi di kawasan berkenaan.

Menurutnya, PH menggunakan pendekatan berbeza berbanding Barisan Nasional (BN) yang menjanjikan bantuan dan projek pembangunan kepada pengundi di PRK itu.

"Adakah anda lihat kami (PH) mengumumkan pembinaan jalan atau jambatan baharu...tidak, kami tidak umumkan perkara itu. Laporan media sebelum ini tidak tepat dan ditafsir luar konteks ucapan saya.

"Saya tidak sebut akan beri projek tapi hanya maksudkan dua kerajaan iaitu kerajaan pusat dan kerajaan negeri bersama-sama membangunkan kawasan peranginan tanah tinggi ini," katanya pada sidang media di sini.

"Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai diwakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan ia terletak di bawah Parlimen Cameron Highlands. Jadi, saya fikir kedua-dua kerajaan boleh bekerjasama," tegas beliau.