Pakatan Harapan (PH) tidak akan memainkan isu perkauman tetapi sebaliknya akan memberi penekanan kepada penyampaian janjinya untuk memban...

PH tak gentar strategi perkauman UMNO-PAS di Prk Semenyih


Pakatan Harapan (PH) tidak akan memainkan isu perkauman tetapi sebaliknya akan memberi penekanan kepada penyampaian janjinya untuk membantu meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat, tegas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, PH bersedia berdepan kerjasama UMNO-PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac ini dengan kemungkinan mereka memainkan sentimen perkauman dan agama untuk meraih undi.

"Saya optimis kami mempunyai dasar yang betul, turun ke akar umbi untuk berkhidmat kepada rakyat, kami berupaya untuk melaksanakannya,” kata Anwar kepada pemberita selepas majlis penutup Forum Ekonomi dan Tinjauan Masa Hadapan Strategik Malaysia 2019.

Beliau berkata isu perkauman yang dimainkan pembangkang menyumbang kekalahan PH dalam PRK Parlimen Cameron Highlands yang diadakan Sabtu lalu.

PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung