"Malaysia perlukan kepimpinan yang kuat, Malaysia memerlukan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad," kata Bekas menteri dan pemim...

Tok Pa mahu pengundi Cameron Highlands beri sokongan pada Tun M


"Malaysia perlukan kepimpinan yang kuat, Malaysia memerlukan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad," kata Bekas menteri dan pemimpin Umno, Mustapa Mohamed sewaktu ceramah di sebuah penempatan Melayu di Kampung Kuala Medan, Jelai, semalam.

Mustapa yang kini merupakan anggota Bersatu menjadi penceramah utama bagi Pakatan Harapan didalam kempen pilihanraya kecil Cameron Highlands.

Sambil menyatakan keyakinan beliau bahawa PH mampu menawan kerusi Cameron Highlands, Mustafa juga mendedahkan punca sebenar beliau hilang kepercayaan terhadap UMNO dan Barisan Nasional sehingga menyebabkan dirinya keluar parti.

Selepas lebih 40 tahun berjuang dalam parti, beliau melihat bahawa hala tuju parti itu tidak lagi selari dengan prinsip politiknya dan "tidak banyak usaha dibuat untuk melakukan proses rejuvenasi" secara dalaman.

Beliau berkata terpaksa mengambil keputusan meninggalkan UMNO dan BN setelah membuat beberapa pemerhatian terhadap lanskap politik negara, hala tuju parti serta masa depan negara.

"Berdasarkan kepada beberapa perkembangan mutakhir ini, saya berpandangan usaha-usaha ke arah memulihkan defisit kepercayaan dan imej parti semakin sukar. 

"Tidak ada tanda-tanda bahawa majoriti rakyat berbilang bangsa dan agama akan kembali meyakini perjuangan parti ini," katanya yang lebih mesra dikenali sebagai Tok Pa itu.