Kehadiran bekas Perdana Menteri DS Najib Razak di beberapa tempat khususnya ketika kempen pilihanraya kecil dianggap sebagai satu penghin...

'Bossku' Najib adalah satu penghinaan kepada rakyat


Kehadiran bekas Perdana Menteri DS Najib Razak di beberapa tempat khususnya ketika kempen pilihanraya kecil dianggap sebagai satu penghinaan kepada rakyat.

Imej 'Bossku' yang dibawa oleh Najib juga tak akan membawa kemenangan kepada BN di Prk Semenyih nanti, ujar Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir. 

"(Bagi saya) ia seolah-olah satu penghinaan kepada rakyat kerana cuba meraih sokongan walaupun semua sedia maklum beliau (Najib) terpalit dengan macam-macam masalah penyelewengan.

"(Tetapi) terpulang kepada Barisan Nasional (BN) jika merasa beliau mampu memberi kekuatan kepada BN mereka boleh teruskan,” katanya kepada media selepas berkempen bertemu masyarakat India di Ladang Rinching.

Menteri Besar Kedah itu turun berkempen bagi memastikan kemenangan calon Pakatan Harapan, Muhammad Aiman Zainali yang berdepan tiga lagi calon bagi kerusi DUN Semenyih.

Calon lain ialah Zakaria Hanafi (BN), calon Bebas Kuan Chee Heng dan Nik Aziz Afiq Abdul daripada Parti Sosialis Malaysia.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu yang mewakili PH pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Mac sebagai hari mengundi, sementara pengundian awal 26 Feb ini.