Walaupun 'diserang' teruk dengan pelbagai isu di media sosial, calon Pakatan Harapan, Muhammad Aiman Nazali dijangka menang mudah...

Bukan mudah untuk PH bangunkan negara yang ditinggalkan oleh kerajaan rasuah


Walaupun 'diserang' teruk dengan pelbagai isu di media sosial, calon Pakatan Harapan, Muhammad Aiman Nazali dijangka menang mudah didalam pilihanraya kecil Dun Semenyih, 2 Mac ini.

Keyakinan tersebut disuarakan oleh Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa semasa ceramah kelompok di Dataran Putra Walk, Bandar Seri Putra malam tadi.

Bekas Naib Presiden Pas itu juga berkata, BN yang diwakili Zakaria Hanafi, 58, tidak memiliki faktor yang kuat untuk merampas kerusi yang disandang PH itu.

"Saya yakin calon kita akan mencapai kemenangan. Ini kerana BN tidak mempunyai sebab yang kuat mengapa calon mereka perlu diberi sokongan dalam PRK ini,” tegasnya.

Mengulas kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam berhubung proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi lebuh raya, Husam berkata, kerajaan Pakatan Harapan masih baru mendapat mandat rakyat.

"Apabila kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih daripada kerajaan Najib Razak Umno-BN yang telah dikenali di seluruh dunia sebagai sebuah kerajaan rasuah yang telah meninggalkan hutang yang sangat besar kepada anak cucu rakyat Malaysia. Maka tidaklah mudah kerajaan Pakatan Harapan terus membangunkan negara ini.

"Kerajaan Pakatan Harapan terpaksa memikul beban kewangan dan ekonomi yang sangat besar. Kerajaan kita adalah kerajaan yang bayar hutang.

"Kerajaan kita adalah kerajaan yang menguruskan masalah-masalah ekonomi yang ditinggalkan termasuk agensi-agensi seperti Felda, Tabung Haji, Mara, Felcra dan lain-lain.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat khususnya pengundi di Semenyih dapat memahami keadaan tersebut dan menghargai usaha bersungguh-sungguh kerajaan Pakatan Harapan.

"Harapan yang dipimpin Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Wan Azizah, adalah untuk membetulkan masalah ekonomi Malaysia sebelum memacu negara kita menjadi sebuah negara yang berkebajikan dan maju dengan program-program lebih baik pada masa akan datang,” tegas Husam.