Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka melalui ‘jalan sukar’ untuk mengambil tampuk kepemimpinan negara daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Maha...

'Game Over' untuk Anwar jika Tun M berjaya kukuhkan Bersatu di Sabah dan Sarawak


Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka melalui ‘jalan sukar’ untuk mengambil tampuk kepemimpinan negara daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Setiausaha Otai Reformis 1998, Abdul Razak Ismail berkata, tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menerima kemasukan enam bekas Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dua hari lalu merupakan isyarat bahawa Anwar tidak akan melalui jalan mudah untuk menjadi Perdana Menteri seperti dijanjikan.

“Kita jangka lebih ramai ahli Parlimen BN lompat ke Bersatu dalam masa terdekat. Dan Bersatu dengan sokongan parti dari Sarawak dan Sabah akan jadi parti dominan dalam Pakatan Harapan (PH).

“Jadi peluang Anwar agak ‘sukar’ untuk jadi Perdana Menteri kelapan sekiranya ini berlaku.

“Dr. Mahathir pula kelihatan semakin demanding (menuntut), ugut untuk tukar parti lain sekiranya parti dalam PH belot,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Abdul Razak berkata, apa yang lebih membimbangkan adalah sokongan dalam PKR terhadap Anwar sendiri yang kini sudah ‘terbelah dua’.

Katanya, keba­nyakan kepemimpinan PKR dan DAP tidak bersetuju Bersatu terima enam ahli Parlimen BN kecuali Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Mohamed Azmin kelihatan condong kepada Dr. Mahathir malah nyatakan sokongan enam ahli Parlimen BN yang melompat itu.

“Mohamed Azmin juga kelihatan mendapat sokongan ramai ahli Parlimen dan kepemimpinan parti dalam PKR sendiri,” katanya.