“Kerajaan akan terus berusaha merapatkan (lagi) hubungan (antara golongan) miskin dan kaya supaya kekayaan negara kita dapat diagih bersa...

Kerajaan PH akan rapatkan jurang golongan miskin dan kaya di Malaysia


“Kerajaan akan terus berusaha merapatkan (lagi) hubungan (antara golongan) miskin dan kaya supaya kekayaan negara kita dapat diagih bersama. Jangan samakan identiti kaum dengan kaya dan miskin,” kata Perdana Menteri, Tun Mahathir semasa ucapan sambutan Hari Perpaduan dan Ulang Tahun ke-15 Majlis Perundingan Muhibah Negeri Pulau Pinang (MPMNPP).

Beliau menegaskan bahawa kerajaan sedang berusaha untuk merapatkan lagi jurang perbezaan pencapaian ekonomi yang dialami rakyat sekarang sebagai langkah yang dapat mempercepatkan lagi kemajuan negara.

"Kita bercita-cita tinggi untuk menjadi negara maju. Kita yakin (mencapainya) selagi rakyat bersatu padu, kita dapat mencapai tahap negara maju menjelang 2025. Kita terlewat sedikit tapi biarlah lewat daripada tak mencapai matlamat (negara maju) langsung,” katanya.

Ujar beliau, semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia dari sejak awal kemerdekaan turut membolehkan negara ini mengharungi cabaran rusuhan antara kaum yang berlaku pada 1969.

"Rusuhan biasanya membawa kesan yang panjang tetapi rusuhan 1969 yang berlaku di Malaysia tamat dalam jangka masa yang pendek saja kerana rakyat masih dapat bersatu dan seterusnya menubuhkan kerajaan campuran,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, kematangan rakyat turut terserlah sepanjang 14 kali pilihan raya umum yang dijalankan dan pada pilihan raya yang terakhir, negara tetap kekal aman biarpun berlaku perubahan kerajaan yang memerintah.